Bangunan kekal Kedutaan Republik Korea dibuka rasmi

Bangunan kekal Kedutaan Republik Korea dibuka rasmi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Hubungan dua hala, persahabatan serta kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea diperkukuhkan dan melangkah satu tapak ke hadapan dengan perasmian bangunan kekal Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam di Jalan Kebangsaan, hari ini.

Hadir untuk bersama-sama merasmikan bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Setiausaha Agung Biro Hal Ehwal Asia Selatan dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Korea, Ryu Jeong-hyun dan Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam Cho Won-Myung.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para jemputan khas serta pegawai dan kakitangan Kedutaan Republik Korea.

Cho Won-Myung dalam ucapannya berkata, pembinaan bangunan kekal kedutaan berkenaan merupakan salah satu permintaan komuniti Korea di Brunei yang amat dinanti-nantikan dan ia juga merupakan satu simbol kejayaan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea.

Beliau berkata bahawa Brunei dan Korea pada 2017 meraikan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-33 di antara kedua-dua buah negara di mana pihaknya akan menggandakan lagi usaha untuk mendalamkan serta mengembangkan hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara.

Perasmian bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan bersama oleh Menteri-menteri Kabinet Negara Brunei Darussalam, Setiausaha Agung Biro Hal Ehwal Asia Selatan dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Korea dan Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam.
Perasmian bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan bersama oleh Menteri-menteri Kabinet Negara Brunei Darussalam, Setiausaha Agung Biro Hal Ehwal Asia Selatan dan Pasifik, Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Korea dan Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, Ryu Jeong-hyun dan Cho Won-Myung menanam pokok di perkarangan Bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali, Ryu Jeong-hyun dan Cho Won-Myung menanam pokok di perkarangan Bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam.

Cho turut berkata bahawa Brunei dan Korea juga mempunyai pertukaran bagi mempromosikan sekuriti serantau, yang mana baru-baru ini, terdapat pertukaran lawatan oleh pegawai-pegawai kanan bagi mengukuhkan hubungan dua hala termasuk penyertaan wakil dari Brunei dalam Dialog Tahunan Sekuriti Seoul (SDD) dan ADEX.

Di samping itu, ulasnya lagi, Korea juga mengambil bahagian secara aktif dalam eksesais bersama ADMM+ yang diterajui oleh Brunei menerusi penyertaan kapalnya, Choi-Young pada Mei lalu.

Beliau turut berkata, Republik Korea terus berusaha untuk meningkatkan pertukaran dua hala dalam bidang ketenteraan di mana pada 2016 menyaksikan lawatan daripada kapal Lee Soon-Shin dan tentera laut Republik Korea serta kumpulan Black Eagles daripada Tentera Udara Republik Korea.

Dalam bidang ekonomi pula, beliau amat menghargai sumbangan ahli perniagaan Brunei dan Korea atas kerjasama yang membawa manfaat kepada kedua belah pihak dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, teknologi kewangan (FINTECH), penerbangan, perkhidmatan dan perdagangan.

“Saya percaya bahawa pertukaran ekonomi dan penduduk dalam sektor swasta ini, menjadi asas dalam menentukan nilai sebenar persahabatan di antara kedua-dua buah negara kita.”

Beliau menambah bahawa kerajaan kedua-dua buah negara akan terus bekerjasama untuk mempromosikan peluang perniagaan di kedua-dua buah negara dengan meningkatkan kecekapan dan mengamalkan amalan terbaik.

Bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam di Jalan Kebangsaan yang dirasmikan, kelmarin.
Bangunan Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam di Jalan Kebangsaan yang dirasmikan, kelmarin.

Dari segi sukan dan kebudayaan pula, ulas Cho, ia telah menyaksikan perkembangan yang amat memberangsangkan dalam bidang pertukaran kebudayaan di antara kedua-dua buah negara menerusi Kejohanan Badminton Duta Korea, Malam K-Dream, Pesta Korea, Pesta Filem Korea dan Pesta Irama Korea.

Selain daripada itu, penyiaran siri drama Korea juga dipercayai akan mempromosikan budaya Korea kepada penduduk Brunei dan meningkatkan lagi kesefahaman bersama.

Dengan perasmian bangunan kekal kedutaan itu, ia melakarkan satu sejarah penting dalam hubungan persahabatan dan dua hala di antara Brunei dan Korea.

Ia menandakan satu permulaan yang baru dan baik ke arah meningkatkan lagi pertukaran, kerjasama dan persahabatan dua hala di antara kedua-dua buah negara.

Dengan adanya bangunan kedutaan itu, ia menyediakan ruang bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang kerana bangunan itu boleh menjadi pusat persahabatan, pusat pertukaran kebudayaan dan pertemuan di antara rakyat kedua buah negara.

Bangunan Kedutaan Republik Korea yang baru itu mempunyai sebuah dewan besar yang bakal digunakan untuk mengadakan pelbagai jenis acara dan bangunan itu mendapat ilham pembinaan atau konsep daripada bangunan tradisional Korea.

ARTIKEL YANG SAMA