Bangunan PKBN sedia digunakan

Bangunan PKBN sedia digunakan

TEMBURONG, 24 Nov – Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) melakar satu lagi detik bersejarah apabila bangunan kekal Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Daerah Temburong diserahkan secara rasmi untuk digunakan sepenuhnya.

Majlis penyerahan bangunan kem latihan tersebut berlangsung hari ini dengan disaksikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pada majlis itu Pengerusi LSL Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Ahmad bin Kadi telah menyerahkan kunci kepada Pemangku Timbalan Ketua Pengarah JKR Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak yang seterusnya menyerahkan kepada Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.

Kem Latihan PKBN itu yang akan menjadi satu mercu tanda bagi Daerah Temburong, mula dibina pada 24 Disember 2014 dibawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (RMK-10).

Kem tersebut dibina berkonsepkan mesra alam dan mengandungi lima blok bangunan yang terdiri daripada Blok Pentadbiran, Blok Pusat Perubatan dan Asrama Pelatih Perempuan, Blok Asrama Staf Wanita dan Pelatih Lelaki yang semuanya berupaya menampung seramai 108 orang staf lelaki, 72 orang staf wanita dan 700 orang pelatih.

Dato Paduka Haji Ahmad ketika menyerahkan kunci kepada Dr. Nor Imtihan sambil disaksikan oleh Dato Paduka Dr. Haji Affendy.
Dato Paduka Haji Ahmad ketika menyerahkan kunci kepada Dr. Nor Imtihan sambil disaksikan oleh Dato Paduka Dr. Haji Affendy.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika meninjau di persekitaran bangunan tersebut.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika meninjau di persekitaran bangunan tersebut.

Kem latihan tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi pengendalian serta pelaksanaan latihan PKBN pengambilan ke-6 seramai 386 orang pelatih yang akan bermula pada 4 Disember nanti.

Pembinaan Kem Latihan PKBN di Batu Apoi secara tidak langsung akan dapat menyumbang kepada kemajuan Daerah Temburong dari segi perekonomian, sosial dan keselamatan.

Ia akan menjadi daya penarik kepada pelawat-pelawat dalam dan luar negara berkunjung ke Daerah Temburong, sekali gus menjana peluang kepada peniaga-peniaga tempatan untuk memperoleh dan meningkatkan hasil perniagaan mereka apabila lawatan-lawatan ibu bapa pada setiap hujung minggu.

Dengan bermulanya penggunaan kompleks baru PKBN pada 4 Disember nanti, program itu akan dapat menerima lebih banyak pelatih dan akan dapat memberikan lebih banyak kaedah latihan terkini kepada para belia demi untuk mencapai hasrat untuk membangun para belia yang berdisiplin, mempunyai jati diri, prihatin, bertanggungjawab, patriotik serta mempunyai nilai-nilai murni sebagai anak Brunei yang akan menerajui pembangunan negara dan bangsa di masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA