Bangunan runtuh di China

Bangunan runtuh di China

BEIJING, 10 Okt – Sepuluh orang terbunuh selepas beberapa rumah runtuh di China hari ini, kata pihak berkuasa tempatan.

Empat bangunan runtuh pada waktu awal pagi di Wenzhou, wilayah timur Zhejiang, kata kerajaan daerah Lucheng dalam media sosial.

Lapan orang ditemui mati dan lima telah diselamatkan pada tengah hari, katanya, dan jumlah mangsa yang masih hilang dalam runtuhan itu belum diketahui.

Agensi berita rasmi Xinhua berkata bahawa anggota penyelamat masih menyiasat bilangan orang yang terperangkap di bawah runtuhan. “Anggaran awal” yang dilaporkan di media sosial mengatakan lebih daripada 20 orang tertimbus dalam runtuhan itu. Punca kejadian sedang dalam siasatan.

Anggota penyelamat mencari mangsa di tempat kejadian selepas empat buah rumah kediaman runtuh di Bandar Raya Wenzhou, Wilayah Zhejiang di timur China, kelmarin. – Xinhua
Anggota penyelamat mencari mangsa di tempat kejadian selepas empat buah rumah kediaman runtuh di Bandar Raya Wenzhou, Wilayah Zhejiang di timur China, kelmarin. – Xinhua

Gambar dari tempat kejadian menunjukkan anggota penyelamat sedang membersihkan kawasan runtuhan itu.

China telah menyaksikan beberapa tragedi bangunan runtuh dalam tahun-tahun kebelakangan ini, dimana sebahagiannya dipersalahkan ke atas pembinaan yang berkualiti rendah.

Pada bulan Mei, 16 orang dilaporkan mati selepas sebuah bangunan kediaman di wilayah Guizhou di barat daya runtuh akibat tanah runtuh.

Dua orang terbunuh dan 24 cedera pada bulan April apabila ribut menumbangkan sebuah bangunan pasar borong di bandar Foshan, di wilayah selatan Guangdong. – AFP