Bangunan runtuh di Sepanyol

Bangunan runtuh di Sepanyol

ARONA, Sepanyol, 15 April (AFP) – Perkhidmatan kecemasan Sepanyol hari ini menarik keluar mayat kedua dari runtuhan sebuah bangunan empat tingkat yang runtuh di resort percutian Pulau Canary yang popular di Tenerife.

Sembilan daripada 28 orang di dalam bangunan, yang terletak di salah sebuah pantai yang paling popular di pulau itu, masih hilang, kata pihak berkuasa, dengan angka kematian yang boleh meningkat.

Setelah bertungkus lumus sepanjang malam, pekerja kecemasan “mendapati mayat mangsa kedua, iaitu seorang wanita yang masih belum dipastikan usianya,” menurut pihak berkuasa tempatan dalam satu kenyataan.

Tiga orang, termasuk seorang lelaki Itali berusia 28 tahun yang mengalami patah tangan, telah diselamatkan dari runtuhan lewat Khamis, dengan dua yang memerlukan rawatan hospital.

Anggota bomba dan penyelamat mencari mangsa yang terselamat selepas sebuah bangunan runtuh di Los Cristianos, Pulau Canary Tenerife, Sepanyol, Khamis lalu. – Reuters
Anggota bomba dan penyelamat mencari mangsa yang terselamat selepas sebuah bangunan runtuh di Los Cristianos, Pulau Canary Tenerife, Sepanyol, Khamis lalu. – Reuters

Bangunan yang terletak di kawasan pantai di Los Cristianos di selatan Tenerife, runtuh pada kira-kira 09:30 pagi (0830 GMT) pada hari Khamis. Puncanya belum dapat diketahui.

Empat bangunan yang terletak bersebelahan dengan blok yang runtuh itu telah dipindahkan dan berpuluh-puluh keluarga telah berpindah ke saudara-mara mereka atau tinggal di tempat penginapan sementara.

Tenerife, pulau terbesar Kepulauan Canary Sepanyol di luar pantai barat laut Afrika, adalah sebuah destinasi popular bagi pelancong Eropah dan pesara.

Ia juga popular dengan pelancong Jerman.