Bangunan runtuh ragut 12 jiwa

Bangunan runtuh ragut 12 jiwa

MUMBAI, 4 Ogos (AFP) – Sebuah bangunan usang runtuh di luar Mumbai hari ini, mengorbankan kira-kira 12 orang, kemalangan kedua seumpamanya di sekitar bandar kewangan India dalam tempoh seminggu, menurut seorang pegawai penyelamat.

Para penyelamat melancarkan usaha mencari di runtuhan bangunan itu bagi mana-mana mangsa yang terselamat selepas struktur tiga tingkat runtuh semalaman ketika keluarga-keluarga sedang tidur di dalamnya, menurut pegawai itu.

“Dua belas mayat telah ditemui dan tujuh orang ditarik keluar dalam keadaan masih hidup. Seorang lagi dilaporkan hilang,” pegawai Pasukan Respons Bencana Kebangsaan Alok Avasthy memberitahu AFP.

Bangunan itu, yang runtuh kira-kira pukul 2 pagi, terletak di kawasan Naupada, Bandar Thane berhampiran Mumbai.

“Itu adalah struktur berusia 50 tahun yang dalam keadaannya yang usang dan telah diisytihar tidak selamat oleh kerajaan dua tahun lalu, tetapi masih ada orang yang mendiaminya lagi,” kata Avasthy.

Sebuah jengkaut membersihkan kawasan runtuhan bangunan yang telah mengorbankan 12 orang di luar bandar Mumbai. – AFP
Sebuah jengkaut membersihkan kawasan runtuhan bangunan yang telah mengorbankan 12 orang di luar bandar Mumbai. – AFP

“Kami telah menarik keluar dengan selamat seramai lima orang sekeluarga dengan bantuan anjing penghidu yang memberitahu kami bahawa masih ada yang hidup di dalam sana,” katanya lagi.

Kemalangan itu adalah yang terbaru dalam kejadian bangunan runtuh yang membawa maut kebelakangan ini, yang sesetengahnya menunjukkan standard teruk pembinaan.

Ia berlaku baru seminggu selepas sembilan orang terbunuh apabila sebuah lagi bangunan lama tiga tingkat runtuh akibat hujan lebat monsun di pinggir bandar Mumbai, Thakurli.

Berjuta-juta orang di India tinggal di bangunan usang, kebanyakannya yang runtuh ketika musim monsun tahunan.

Sebuah pangsapuri 11 tingkat yang sedang dibina di negeri selatan, Tamil Nadu runtuh pada Julai tahun lalu ekoran hujan lebat, membunuh 61 orang, kebanyakan pekerja buruh.

Ekonomi sedang berkembang dan harga hartanah meningkat juga kerap membawa kepada struktur bertingkat-tingkat berkembang pesat di pinggir bandar dan kota, sebilangannya telah pun runtuh.

ARTIKEL YANG SAMA