Bangunkan dron untuk penghantaran surat

Bangunkan dron untuk penghantaran surat

SINGAPURA, 8 Okt (Bernama) – Singapore Post (SingPost) berjaya menjalankan ujian untuk perkhidmatan pos pertama dunia menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) yang juga dikenali sebagai dron.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, dron itu dibangunkan bersama Infocomm Development Authority of Singapore (IDA).

Menurutnya, ujian penghantaran surat dan paket itu berjaya diselesaikan di antara Lorong Halus di tanah besar Singapura dan Pulau Ubin.

SingPost berkata, dron itu yang dibina berasaskan platform Pixhawk Steadidrone oleh IDA Labs bagi memenuhi platform penghantaran berkonsep baharu daripada SingPost, disesuaikan untuk kegunaan di persekitaran mencabar seperti Singapura.

Ini adalah kali pertama perkhidmatan pos dunia berjaya menggunakan UAV untuk penghantaran surat disahkan penerima.

Pasaran e-dagang B2C di Asia Pasifik dijangka bernilai AS$175 bilion pada 2016 dan SingPost, yang berupaya mengendali penghantaran pos dan bukan pos, pelepasan kastam dan pergudangan e-dagang, sedang muncul sebagai peneraju pasaran di Asia Tenggara.

Penerbangan ujian lima minit itu membawa sepucuk surat serta kemeja-T dalam satu paket dan terbang sejauh dua kilometer.

Dron itu dilengkapi ciri-ciri keselamatan canggih serta aplikasi prototaip yang direka dengan ciri-ciri keselamatan dan pengesahan bagi memastikan surat itu sampai kepada penerimanya.

Ia boleh membawa muatan sehingga setengah kilogram, terbang setinggi 45 meter dengan jarak 2.3 kilometer.

Fokus penerbangan itu adalah untuk menguji teknologi dron itu dan sempadan keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SingPost, Dr Wolfgang Baier berkata, teknologi UAV mempunyai potensi besar untuk penghantaran surat dan e-dagang.

ARTIKEL YANG SAMA