Banjir: 2 jam...

Banjir: 2 jambatan roboh, 30 maut

SURAT THANI, Thailand, 10 Jan – Jalan melalui darat ke kawasan selatan Thailand terputus hari ini selepas dua jambatan roboh ekoran hujan lebat beberapa hari yang telah membunuh sekurang-kurangnya 30 orang, termasuk seorang budak perempuan berusia lima tahun.

Hujan paling lebat pada Januari selama tiga dekad telah melanda kawasan selatan negara selama lebih seminggu, menjejas 1.1 juta orang di sebelas wilayah.

Hujan lebat juga telah menjejaskan tempoh kemuncak pelancong di Thailand, mendorong pembatalan di pulau peranginan popular termasuk Samui dan Phangan.

Jabatan Lebuh raya berkata jalan utama menuju ke selatan Thailand ditutup selepas dua jambatan runtuh di wilayah Prachuab Kiri Khan.

Kereta api ke selatan juga dihentikan akibat air banjir yang meningkat, sekali gus menambah permintaan dalam penerbangan ke dan dari rantau yang dilanda banjir.

Seorang askar diturunkan dari sebuah helikopter untuk mengagihkan bekalan ke sebuah bot penyelamat di daerah Chaiya wilayah Surat Thani selatan Thailand pada 10 Januari. – AFP
Seorang askar diturunkan dari sebuah helikopter untuk mengagihkan bekalan ke sebuah bot penyelamat di daerah Chaiya wilayah Surat Thani selatan Thailand pada 10 Januari. – AFP

Jumlah kematian telah meningkat dalam beberapa hari ini tatkala banjir mencecah paras bumbung di beberapa kawasan.

Seorang budak perempuan berusia lima tahun di wilayah Prachuab menjadi mangsa terbaru apabila banjir kilat melanda sebuah van yang dinaikinya lewat semalam.

“Keluarganya memanjat ke bumbung van untuk mengelak air namun dia terjatuh ke dalam air bersama ibunya,” beritahu pekerja bantuan Rawiroj Thammee kepada AFP.

“Budak perempuan itu dibawa arus, penduduk kampung menemui mayatnya 200 meter dari van pada pagi ini.”

Bulan Januari biasanya membawa pelawat ke pulau selatan dan pantai asli tatkala hujan monsun berkurangan dan suhu menurun. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA