Banjir buruk China ragut 225 jiwa

Banjir buruk China ragut 225 jiwa

BEIJING, 24 Julai – Seramai hampir 225 orang telah terkorban atau hilang dalam kejadian hujan lebat dan banjir yang telah melanda China dengan kira-kira 250 ribu orang masih terperangkap di wilayah Hubei tengah.

Lebih daripada 680 ribu orang terjejas dan 10 bandar ditenggelami banjir lumpur berikutan hujan lebat berterusan dari 18 hingga 20 Julai, menurut kerajaan bandar Tianmen di Wilayah Hubei.

Lebih 500 tentera, 1,000 orang dan 62 bot laju telah dihantar bagi kerja menyelamat sementara lebih daripada 10,000 orang telah dihantar untuk memastikan keselamatan tebing-tebing sungai, agensi berita kerajaan Xinhua melaporkan.

Sekurang-kurangnya 114 orang telah terbunuh dan 111 lagi hilang di wilayah Hubei. Pihak berkuasa setempat telah memindahkan hampir 310 ribu orang.

Banjir dan hujan lebat telah mencetuskan beberapa tanah runtuh dan menyebabkan runtuhan kepada 53,900 buah rumah dan merosakkan sehingga 155,000 lainnya.

Lebih 700,000 hektar tanaman juga telah musnah, menyebabkan kerugian langsung ekonomi kira-kira 16 bilion yuan (AS$2.4 bilion). Tempat yang teruk terjejas Kampung Daxian di Bandar Xingtai hampir kosong selepas banjir kilat membanjiri kawasan itu pada Rabu. Sekurang-kurangnya lapan penduduk kampung terkorban dan seorang hilang.

“Saya terdengar orang menjerit ‘banjir’ pada kira-kira 2:30 pagi. Saya bangunkan isteri dan anak-anak saya dan pergi ke pintu depan dengan segera. Dalam masa yang singkat paras air telah berada di atas pinggang saya,” kata seorang penduduk setempat, Zhang Erqiang.

“Isteri saya dan saya sendiri berasa panik dan memanjat sepohon kayu, dan berada di sana untuk beberapa jam sehingga para penyelamat tiba pada awal pagi,” kata Zhang.

“Namun anak perempuan dan lelaki saya dihanyutkan air dan mayat mereka baru sahaja ditemui,” tambahnya.

Hanya puluhan sahaja penduduk kampung tinggal untuk memantau kampung, sementara penduduk selebihnya telah pergi untuk berlindung bersama ahli keluarga masing-masing di tempat lain. – NNN

ARTIKEL YANG SAMA