Banjir buruk landa China

Banjir buruk landa China

BEIJING, 5 Julai – Banjir di lembangan sungai Yangtze China telah mengakibatkan 128 orang terkorban atau hilang dalam beberapa hari ini, dengan kerosakan yang lebih banyak dikhuatiri daripada satu taufan yang dijangka mendarat dalam masa beberapa hari.

Kira-kira 16 juta orang telah pun terjejas oleh hujan lebat yang meninggalkan sebahagian besar kawasan ditenggelami berhampiran Yangtze, sungai terpanjang China, Beijing News memetik kementerian hal ehwal awam sebagai berkata.

Paras air di Tasek Taihu, berhampiran dengan Shanghai, mencecah paras tertinggi mereka sejak 1954, katanya, menambah kawasan itu menghadapi risiko banjir “serius” sekiranya taufan melanda kawasan berhampiran pada Jumaat.

Gambar seorang petani di timur China menangis tatkala air menenggelami 6,000 ekor khinzirnya disiarkan oleh media negeri.

Gambar lain menunjukkan sebuah stadium sukan di tengah wilayah Hubei bertukar menjadi “tab mandi besar” oleh hujan lebat.

Sebahagian bandar di wilayah Hubei ditenggelami air. - AFP
Sebahagian bandar di wilayah Hubei ditenggelami air. – AFP

Banjir biasa berlaku ketika musim monsun musim panas di selatan China, tetapi hujan adalah amat lebat pada tahun ini dan kebanyakan kawasan telah pun mengalami hujan lebat pada minggu ini.

Hujan dijangka bergerak ke utara pada minggu ini ke arah sungai Huai, tambah Beijing News.

Timbalan Perdana Menteri China Wang Yang mengingatkan pada bulan lalu bahawa kesan El Nino yang kuat pada tahun ini akan menambah risiko banjir di lembangan sungai Yangtze dan Huai.

Satu kesan El Nino dikaitkan dengan banjir paling teruk China dalam beberapa tahun ini apabila lebih daripada 4,000 orang terbunuh pada 1998, kebanyakannya sekitar Yangtze.

Akhbar itu memetik seorang ahli kaji cuaca sebagai berkata pola hujan pada tahun ini adalah amat berbeza daripada 1998, sekali gus mengurangkan risiko kesan yang sama.

Balai cerap China mengeluarkan amaran jingga untuk ribut di seluruh kawasan selatan dan timur negara pada minggu lalu – amaran kedua tertinggi dalam sistem empat tingkat.

Seluruh kampung diranapkan dan sekurang-kurangnya 98 orang terbunuh di timur wilayah Jiangsu pada bulan lalu selepas rantau dilanda ribut dengan angin kencang dan puting beliung paling teruk dalam setengah abad.

Banjir juga telah melanda Asia Selatan pada minggu ini, dengan 33 orang terbunuh di Pakistan dan 25 orang terbunuh di India selepas hujan amat lebat. – AFP