Banjir Chennai mulai surut, 270 maut

Banjir Chennai mulai surut, 270 maut

CHENNAI, India, 3 Dis (Reuters) – Banjir yang mengorbankan 270 orang di selatan India mulai surut hari ini, memberikan pasukan menyelamat peluang memindahkan beribu-ribu penduduk yang terkandas oleh hujan yang mencurah-curah di bandar Chennai dalam tempoh lebih satu abad.

Banjir dan hujan yang turun tanpa henti-henti memutuskan perkhidmatan asas untuk lebih daripada tiga juta penduduk dan menghambat usaha menyelamat oleh tentera, yang setakat ini sudah pun memindahkan 18,000 orang daripada bumbung rumah dan kampung terpencil.

Pihak berkuasa sedang menghantar jentolak dan beg konkrit untuk membaiki jalan raya yang rosak, sementara beberapa jambatan ditenggelami air apabila tasik bandar di bandar pantai yang mempunyai enam juta penduduk melimpah.

Perkhidmatan kereta api dan penerbangan ke Chennai, ibu negeri Tamil Nadu, masih dibatalkan dan tentera laut telah mendesak bot perikanan memulakan perkhidmatan untuk memindah orang dari pinggir bandar yang paling teruk terjejas ke kuil, sekolah dan dewan perkahwinan.

Seorang pegawai kanan persekutuan berkata lebih daripada 700 orang telah cedera parah dan dikejarkan ke hospital kerajaan oleh tentera separa.

Seorang lelaki warga emas dipindahkan ke tempat selamat oleh pasukan operasi di kawasan terjejas banjir di Chennai, negeri Tamil Nadu, India pada 3 Disember 2015. – Reuters
Seorang lelaki warga emas dipindahkan ke tempat selamat oleh pasukan operasi di kawasan terjejas banjir di Chennai, negeri Tamil Nadu, India pada 3 Disember 2015. – Reuters

“Kami mahu melakukan segalanya tetapi masalah tersebut di luar kawalan kami. Lapangan terbang dibanjiri, rangkaian kereta api telahpun runtuh dan cuaca masih tidak sesuai,” kata jurucakap kementerian dalam negeri K.S. Dhatwalia di New Delhi.

Dhatwalia berkata perkara utama adalah membaiki rangkaian telefon, mengedar air minuman, ubat, makanan untuk anak damit dan mengelak penyakit bawaan air daripada merebak. Ramai anggota bomba dari kawasan Tamil Nadu telah dikerah untuk membantu.

Namun masalah banjir baru terus menimbul masalah dengan hujan tambahan 100-200mm diramalkan turun mulai hari ini sehingga Ahad.

Dalam hujan yang turun mencurah-curah selama 24 jam – yang paling kuat dalam lebih satu abad – 345 mm turun di sebahagian daripada kawasan Chennai. Tatkala rumah tingkat bawah dibanjiri, penduduk mendapatkan perlindungan dengan jiran yang tinggal di tingkat atas.

Aktivis kebudayaan V.R. Devika, 61, berkata ramai orang menawarkan penginapan percuma dan masakan rumah menerusi media sosial.

ARTIKEL YANG SAMA