Banjir di AS ragut 24 nyawa

Banjir di AS ragut 24 nyawa

WASHINGTON, 26 Jun (AFP) – Angka kematian dari kejadian banjir di negeri AS, West Virginia meningkat kepada 24 orang semalam ketika Presiden Barack Obama mengisytiharkan bencana besar dengan mengeluarkan bantuan persekutuan bagi beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.

Presiden telah ‘mengarahkan bantuan persekutuan untuk menambah usaha pemulihan tempatan dan negeri di kawasan yang terjejas oleh ribut teruk, banjir, tanah runtuh dan gelongsoran lumpur,’ menurut kenyataan Rumah Putih.

Hujan lebat selama beberapa hari telah mengakibatkan banjir besar di negeri itu, yang mana paras air tinggi telah menghanyutkan kereta, mengakibatkan beratus-ratus orang terperangkap dan memutuskan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan besar.

Lebih 21,500 orang tanpa bekalan elektrik di seluruh negeri pada petang semalam, menurut Divisyen Pengurusan Kecemasan dan Keselamatan Tanah Air West Virginia.

Serpihan lumpur dan barangan yang hanyut di sepanjang perumahan Jordan Creek akibat bencana banjir tersebut. Angka kematian dari kejadian banjir di negeri AS, West Virginia itu meningkat kepada 24 orang semalam. – AFP
Serpihan lumpur dan barangan yang hanyut di sepanjang perumahan Jordan Creek akibat bencana banjir tersebut. Angka kematian dari kejadian banjir di negeri AS, West Virginia itu meningkat kepada 24 orang semalam. – AFP

Beratus-ratus buah rumah rosak teruk atau musnah dan lebih 60 batang jalan raya masih ditutup, menurutnya lagi.

Gambar-gambar yang dihantar ke halaman Facebook Divisyen itu menunjukkan air sungai berlumpur dan melimpah keluar dari tebingnya di bandar Clendenin, West Virginia dan menenggelami kawasan berhampiran dengan air banjir.

Kematian terbaru dari kejadian banjir dilaporkan semalam di Wilayah Greenbirer yang menjadikan angka keseluruhan kematian kepada 24 orang, jurucakap wanita negeri itu, Jessica Tice memberitahu AFP.

Antara yang terkorban ialah budak lelaki berusia lapan tahun yang dihanyutkan ketika berjalan di sepanjang tebing anak sungai kecil bersama ibunya dan juga kakaknya, stesen berita tempatan WSAZ melaporkan. Mayatnya ditemui selepas tiga jam usaha mencari.