Banjir di Daerah Tutong mula surut

Banjir di Daerah Tutong mula surut

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Nov – Kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan rendah Daerah Tutong, terutamanya kawasan pedalaman, sejak 11 November lalu berikutan hujan lebat telah mula surut dengan paras air di beberapa kawasan telah menurun hari ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong memberitahu beberapa kawasan seperti Kampung Binutan sudah pun kering dan paras air di kawasan-kawasan lain telah susut dan dalam keadaan baik.

Cuma ada beberapa kawasan kampung di Mukim Rambai masih mengalami banjir di sebelah Layong iaitu Jalan Bangkuru, Jalan Bang Pangan Ukong, Jalan Binutan dan Jalan Kuala Ungar Rambai.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat Pehin ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja ke kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir di Daerah Tutong, hari ini, mengucapkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua agensi-agensi di bawah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Tutong yang telah memberikan kerjasama kepada orang ramai khususnya orang ramai untuk bergerak dari kampung mereka yang terjejas banjir termasuk pelajar-pelajar sekolah dengan memberikan kemudahan trak daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Bomba dan Penyelamat, dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Demikian juga kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang telah memberikan catuan kepada keluarga-keluarga yang terjejas oleh banjir. Sehingga hari ini mencatatkan 37 buah rumah yang menerima bantuan tersebut,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

pg03_151119_a

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika ditemu bual.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika ditemu bual.
Awang Mohd Shazwan menyampaikan taklimat status terkini kawasan yang dilanda banjir.
Awang Mohd Shazwan menyampaikan taklimat status terkini kawasan yang dilanda banjir.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN, Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohd Ali, Pengarah NDMC, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu, ahli-ahli DDMC Tutong serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung kawasan-kawasan yang terjejas banjir.

Sebelum lawatan, Yang Berhormat Pehin dan rombongan telah mendengar penerangan dan taklimat mengenai status terkini pemantauan paras air banjir dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh DDMC Tutong yang telah disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pemerintah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Cawangan Operasi ‘E’ Tutong, Awang Mohd Shazwan bin Suhanie.

Dalam taklimat itu, Yang Berhormat Pehin dan pegawai-pegawai yang terlibat juga telah mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diatasi melalui agensi-agensi ini yang akan diambil tindakan terutamanya dari segi kenderaan trak yang perlu dibekalkan kerana ada terdapat beberapa trak telah rosak dan perkara-perkara seumpamanya yang diperlukan.

Selepas taklimat berkenaan, majlis menyaksikan penyampaian sebanyak 17 telefon satelit yang dibekalkan oleh NDMC kepada para penghulu dan ketua-ketua kampung serta agensi-agensi agar dapat berhubung dengan lebih baik dalam menyelesaikan dan membantu keluarga-keluarga mangsa banjir.

Yang Berhormat Pehin melahirkan penghargaan atas pembekalan telefon berkenaan dan berkata, dengan pembekalan telefon satelit tersebut akan membolehkan pihak pusat kawalan menerima maklumat-maklumat terkini tanpa menunggu kedatangan pegawai yang memantau paras banjir di kampung-kampung berkenaan.

pg03_151119_d

Antara kawasan yang terjejas akibat banjir di Daerah Tutong.
Antara kawasan yang terjejas akibat banjir di Daerah Tutong.

pg03_151119_f

Telefon satelit berkenaan telah disampaikan oleh Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli kepada Yang Berhormat Pehin yang seterusnya menyampaikannya kepada Awang Wardi selaku Pengerusi DDMC.

Majlis turut menyaksikan penyampaian gelen minyak (Jerrycan) untuk kegunaan perahu-perahu NDMC.

Dalam lawatan itu, Yang Berhormat Pehin telah meninjau kawasan dan jalan-jalan yang terjejas iaitu Jalan Kecil Layong, Jalan Kuala Ungar-Rambai, Jalan Bangkuru dan Jalan Panchong-Kuala Ungar.

Lawatan ini antara lain bertujuan untuk meninjau lebih dekat keadaan kawasan-kawasan yang dilanda banjir dan juga untuk memastikan persediaan agensi-agensi kerajaan bagi menghadapi cuaca hujan kebelakangan ini serta mendengar maklumat terkini mengenai keadaan kampung-kampung yang dilanda banjir secara langsung daripada pemimpin-pemimpin masyarakat.

Pihak DDMC melalui ABDB dan JKR cawangan Daerah Tutong telah pun menyediakan bantuan pengangkutan beberapa buah trak di jalan-jalan yang terjejas untuk keperluan penduduk kampung.

Kawasan-kawasan yang terjejas dan dilanda banjir merangkumi kawasan Kampung Binutan dan beberapa batang jalan termasuklah Jalan Bangkuru, Jalan Kuala Ungar-Rambai, Jalan Bang Pangan, Jalan Panchong-Kuala Ungar dan Jalan Kecil Layong.

Keadaan banjir di Daerah Tutong masih di tahap terkawal dan agensi-agensi kerajaan di bawah DDMC Tutong sentiasa bersedia dari semasa ke semasa dan bertindak secara bersepadu bagi sebarang kemungkinan yang berlaku berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

ARTIKEL YANG SAMA