Banjir di Kel...

Banjir di Kelantan, Terengganu, Sabah semakin pulih

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Keadaan banjir semakin baik dengan jumlah mangsa di ketiga-tiga negeri yang terlibat berkurangan setakat petang ini.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan adalah seramai 13, 496 orang pada petang ini berbanding 14,132 orang tengah hari tadi, manakala jumlah mangsa di Terengganu berkurang kepada 2,576 daripada 4,174 orang pada tengah hari tadi.

Bagi daerah Pitas, Sabah, banjir hampir pulih dan jumlah mangsa hanya tinggal 178 orang berbanding 214 pada tengah hari tadi.

Di Kelantan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kelantan Zainuddin Hussin berkata jumlah mangsa banjir tertinggi masih di Pasir Mas iaitu 10,127 orang (3,763 keluarga), diikuti Tumpat seramai 3,308 orang (1,047 keluarga). Kota Bharu mencatatkan 50 mangsa daripada 12 keluarga dan Machang merekodkan 11 orang daripada sebuah keluarga.

Penduduk kampung meredah jalan-jalan yang dibanjiri di Jal Besar, bandar Tumpat, Malaysia pada 5 Januari. Banjir masih lagi menenggelamkan dua negeri di timur laut Malaysia pada 5 Januari, ketika ribuan orang masih lagi berada di pusat bantuan. – AFP
Penduduk kampung meredah jalan-jalan yang dibanjiri di Jal Besar, bandar Tumpat, Malaysia pada 5 Januari. Banjir masih lagi menenggelamkan dua negeri di timur laut Malaysia pada 5 Januari, ketika ribuan orang masih lagi berada di pusat bantuan. – AFP

Sebanyak 38 pusat pemindahan dibuka di negeri itu. Di Terengganu, jumlah mangsa tertinggi adalah di Dungun dengan 812 orang (212 keluarga), diikuti Hulu Terengganu seramai 625 orang (175 keluarga), Kemaman 437 orang (116 keluarga), Kuala Terengganu 401 orang (99 keluarga), Setiu 234 orang (50 keluarga), Marang 39 orang (13 keluarga) dan Besut 28 orang (sembilan keluarga).

Mangsa ditempatkan di 34 pusat pemindahan. Di Sabah, mangsa banjir di daerah Pitas berkurang kepada 178 orang (49 keluarga) setakat 5 petang tadi, berbanding 214 daripada 66 keluarga tengah hari tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kol. Mulliadi Al Hamdi Ladin berkata 168 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom dan 10 di SK Pekan 2 Pitas.

Empat daripada 16 buah kampung yang terjejas banjir di daerah berkenaan telah pulih daripada bencana tersebut iaitu Kampung Bilangau Besar, Kampung Salimpodon Darat, Kampung Pinggan-Pinggan dan Kampung Indah. – Bernama