Banjir di Kuching, Samarahan tidak serius

Banjir di Kuching, Samarahan tidak serius

KUCHING, 31 Dis (Bernama) – Keadaan banjir di Sarawak ketika ini tidak serius kerana tempoh fenomena air pasang besar telah pun berlalu dan paras sungai semakin menurun, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata fenomena air pasang biasanya berlaku pada 25, 26 atau 27 Disember lepas dan keadaan sungai yang surut ketika ini dapat mengelak berlaku kejadian banjir besar.

Katanya banjir di beberapa tempat di bahagian Kuching dan Samarahan sejak pagi tadi berpunca daripada pembangunan, masalah sistem pengaliran selain hujan lebat.

“Hujan lebat hari ini mengakibatkan banjir kilat tetapi ia bukan hujan yang dibawa oleh musim angin monsun,” katanya pada sidang media di Wisma Saberkas di sini, hari ini.

Menurutnya tinjauan semasa mendapati pergerakan air ketika ini tertumpu di sekitar kawasan Batang Lupar (kira-kira 250 kilometer dari sini) serta kawasan pesisir pantai dekat Sri Aman, Samarahan, Kuching dan Lundu.