Banjir di Sarawak semakin surut

Banjir di Sarawak semakin surut

KUCHING, 1 Jan (Bernama) – Keadaan banjir di Sarawak semakin surut dengan jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Bahagian Kuching dan Samarahan berkurangan manakala lima pusat pemindahan ditutup petang ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata setakat 5 petang, hanya 518 orang daripada 134 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan termasuk satu pusat pemindahan yang dibuka hari ini di Daerah Lundu. “Di Daerah Lundu sebuah pusat pemindahan telah dibuka di Balai Raya Kampung Paon dekat Sematan bagi menempatkan 48 orang daripada 10 keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 975 orang berada di pusat pemindahan di Bahagian Kuching dan Samatahan. “Bagi Bahagian Samarahan, 75 orang daripada 14 keluarga masih ditempatkan di Dewan Suarah Samarahan, dan 395 orang daripada 110 keluarga ditempatkan di SK Beradek,” katanya.

Siti Huzaimah berkata lima pusat pemindahan telah ditutup sejak 3 petang tadi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tambirat, Dewan Komuniti Kampung Jaie dan SK Haji Bujang Rangawan Putit di Bahagian Samarahan dan Dewan Stapok serta Sekolah Menengah Tabuan Jaya di Bahagian Kuching.