Banjir di S’wak makin buruk

Banjir di S’wak makin buruk

KUCHING, 9 Feb – Keadaan banjir di Sarawak bertambah buruk dengan jumlah mangsa banjir di daerah Kuching dan Bau meningkat kepada 2,679 orang setakat 5 petang kelmarin, berbanding 2,501 mangsa pada sebelah tengah hari.

Hujan di daerah Kuching dan Bau, di Sarawak sehingga hujung minggu ini dijangka semakin berkurangan berbanding suasana hujan lebat sekali-sekala yang berlarutan di dua kawasan itu sejak dua hari lepas.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Misnu Taha berkata bagaimanapun keadaan banjir dijangka tidak akan pulih dengan serta merta di kawasan berkenaan disebabkan fenomena air pasang besar yang melanda ketika ini.

Beliau berkata fenomena itu berlaku pada petang kelmarin serta awal pagi hari ini, dan orang ramai yang tinggal di dua daerah berkenaan, terutama di kawasan rendah, diminta berwaspada sepanjang masa dan menghubungi pihak berkuasa serta merta jika memerlukan sebarang bantuan.

Katanya baraj di Sungai Sarawak di sini dibuka sepanjang masa ketika ini bagi membolehkan air yang mengalir deras dari hulu sungai melaluinya dengan lancar untuk terus ke laut, namun keadaan air pasang di laut untuk dua atau tiga hari ini tidak dapat meredakan keadaan banjir di dua daerah itu dengan pantas.

Penduduk kampung terutama kanak-kanak seronok bermain air ketika tinjauan di Kampung Batu Kitang Jaya kelmarin selepas hujan lebat melanda Kuching baru-baru ini. – Bernama
Penduduk kampung terutama kanak-kanak seronok bermain air ketika tinjauan di Kampung Batu Kitang Jaya kelmarin selepas hujan lebat melanda Kuching baru-baru ini. – Bernama

Bercakap dalam satu persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini, beliau berkata semasa fenomena air pasang, paras air laut dijangka melonjak sehingga sekitar 6.1 meter, berbanding paras 2.4 meter ketika ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim ketika dihubungi berkata sehingga kini 15 pusat pemindahan dibuka di daerah Kuching dan lima di daerah Bau.

“Mereka terdiri daripada 694 keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau menambah beberapa pusat pemindahan lagi, terutama di kawasan-kawasan rendah di sekitar dua daerah itu sedang bersiap sedia untuk dibuka ekoran keadaan air pasang besar yang dijangka berlaku petang ini dan pagi esok.

Menurutnya semua agensi yang terlibat diletakkan dalam keadaan berwaspada dan bersiap sedia sepanjang masa sejak beberapa hari lepas untuk menyegerakan sebarang operasi pemindahan mahupun penyaluran bantuan.

Sementara itu tinjauan Bernama di Kampung Batu Kitang mendapati anggota bomba memantau paras air di sungai berdekatan kampung itu.

Dalam pada itui Pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya menghantar bantuan ke 15 pusat pemindahan banjir malam tadi.

Bekalan bantuan juga dapat dihantar ke ke Kampung Simpok, Padawan yang terputus hubungan malam kelmarin selepas jalan Kuching-Serian dinaiki dan tidak dapat dilalui kenderaan. – Bernama