Banjir Limbang mula surut

Banjir Limbang mula surut

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 27 Nov – Keadaan banjir di daerah ini mulai surut dengan penutupan Pusat Pemindahan Dewan Masyarakat Medamit pada jam 1:50 petang kelmarin.

Pegawai Pertahanan Awam, JPAM Daerah Limbang, Leftenan Muda Subuh Posa berkata bagaimanapun anggotanya masih memantau beberapa kawasan di kawasan Batu Danau.

Beliau berkata anggota JPAM turut membantu pengagihan barang makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke kawasan yang terlibat banjir khususnya di Batu Danau.

Sementara itu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut berada di Pusat Pemindahan Dewan Masyarakat Medamit Limbang semalam. Mereka ialah Mejar Pertahanan Awam (PA) Ismail Mahedin dan Staf Kanan (PA) Siti Huzaimah Ibrahim.

Menurut Ismail selain menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian di Pejabat Residen semalam, lawatan sama turut diadakan di Dewan Masyarakat Medamit

Klinik Kesihatan Batu Danau yang masih dalam keadaan banjir.
Klinik Kesihatan Batu Danau yang masih dalam keadaan banjir.

“Tujuan lawatan ini adalah untuk memastikan semua pengurusan mangsa dalam keadaan baik dan mengambil input sebagai penambahbaikan di pusat pemindahan di masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua Bomba Zon Limbang, Bonny Martin Saging Mato berkata air mulai surut di kawasan hujung jalan Hulu Medamit.

Namun katanya masih terdapat lima kawasan di Batu Danau yang ditenggelami air membabitkan kawasan Tanjung Riman, jalan menuju ke Kampung Tanjung, jalan ke Pengkalan Jawa dan Ranggu, Pengkalan Madang dan kawasan Kampung Medait.

Beliau berkata Kampung Lubuk Lasas dan Ukong yang sebelum ini dinaiki air kini surut sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang turut berada di pusat pemindahan Dewan Medamit selain memantau kawasan terjejas banjir di Batu Danau bersama agensi kerajaan lain.