Banjir ragut 12 jiwa lagi di Pakistan

Banjir ragut 12 jiwa lagi di Pakistan

ISLAMABAD, 24 Julai – Pakistan melaporkan hari ini, 12 orang lagi terbunuh di seluruh negara, akibat banjir dan hujan lebat, membawa jumlah kematian musim itu kepada 26 orang.

Musim tahunan hujan monsun lebat bermula minggu lepas, membanjiri beberapa buah sungai dan anak sungai, menurut Penguat kuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan negara itu (NDMA).

Banjir telah membunuh tujuh orang di wilayah Balochistan, tiga di wilayah timur Punjab dan dua di rantau Gilgit-Baltistan di utara, menurut NDMA.

Awal minggu ini, sekitar 14 orang terkorban di beberapa tempat akibat banjir kilat dan hujan lebat.

NDMA mengatakan kira-kira 200,000 orang terjejas oleh banjir di wilayah besar Punjab, begitu juga tanaman seluas 205,366 ekar turut musnah.

Para penduduk Pakistan meredah air banjir di daerah Layyah wilayah Punjab semalam. Kira-kira 244 kampung terjejas oleh banjir di wilayah Punjab, Pakistan. – AFP
Para penduduk Pakistan meredah air banjir di daerah Layyah wilayah Punjab semalam. Kira-kira 244 kampung terjejas oleh banjir di wilayah Punjab, Pakistan. – AFP

Sekitar 800 buah rumah juga hampir semuanya turut musnah di negara itu.

Perdana Menteri Nawaz Sharif mengunjungi daerah Rahimyar Khan di Punjab dan melihat dari pemandangan udara di kawasan yang dilanda banjir.

“Saya berpuas hati dengan pengaturan yang dilakukan sejauh ini namun kami perlu berwaspada dan mengalihkan orang yang berisiko dilanda banjir ke tempat yang lebih selamat,” katanya.

Ghulam Rasool, ketua Jabatan Meteorologi Pakistan, memberi amaran mengenai akan lebih banyak hujan turun pada hujung minggu. – dpa