Banjir, tanah runtuh ragut 37 jiwa

HANOI, 12 Okt – Kira-kira 37 orang telah terkorban manakala 40 lagi hilang ketika banjir dan tanah runtuh melanda utara dan tengah Vietnam, memusnahkan rumah-rumah dan mengakibatkan para penyelamat bergelut untuk mencari para mangsa bencana itu, kata pegawai bencana hari ini.

Puluhan ribu penduduk telah dipindahkan selepas hujan lebat melanda seluruh negara minggu ini, ketika peramal kaji cuaca memberi amaran lebih banyak cuaca buruk akan berlaku.

Kawasan Utara Hoa Binh paling teruk terjejas dengan 11 maut dan 21 hilang, sehingga mencetuskan pengumuman kecemasan darurat.

“Kami sedang menggerakkan semua pasukan untuk mencari mangsa yang hilang,” kata pegawai bencana kepada AFP menerusi telefon.

Usaha menyelamat telah dihambat ketika air dan lumpur melimpahi jalan-jalan raya di beberapa kawasan, termasuk di Hoa Binh di mana lapan maut dalam tanah runtuh semalam.

Penduduk berdiri di hujung jambatan yang musnah di utara wilayah Yen Bai. – AFP

“Penduduk harus dipindahkan dari kawasan berbahaya, keselamatan penduduk dan harta benda mereka perlu dipastikan,” kata timbalan perdana menteri Trinh Dinh Dung dalam televisyen Vietnam.

Seorang penduduk menggambarkan banjir teruk berlaku di bahagian lain di wilayah itu.

“Banjir kilat sangat teruk. Air mencurah deras dari bukit-bukit, seperti limpahan tiga meter tinggi. Lalu lintas telah tersekat akibat banjir,” kata Phan Ba Dien memberitahu laman web berita VNExpress yang dikawal kerajaan.

Seorang jurnalis dari Agensi Berita Vietnam yang melaporkan ribut itu telah dihanyutkan bersama empat yang lain ketika sungai melimpah memusnahkan sebuah jambatan di utara wilayah Yen Bai kelmarin.

Seorang terselamat dan pihak berkuasa masih lagi mencari empat yang lain hari ini. – AFP