Banjir terus dipantau, NDMC bantu sebuah keluarga

Banjir terus dipantau, NDMC bantu sebuah keluarga

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Nov – Pemantauan berterusan ke atas kejadian banjir di kawasan pedalaman masih diteruskan sehingga hari ini, dan Balai Bomba Sungai Liang melaporkan sejak seminggu kebelakangan, paras air masih tinggi kecuali bagi kawasan Kampung Singap yang sudah tidak banjir lagi ketika ini.

Stesen Komander, Pegawai Balai Bomba Sungai Liang, Awang Muhammad Ali bin Hassan memberitahu Media Permata, hari ini, anggota bomba Balai Bomba Sungai Liang terus membuat pemantauan di Mukim Bukit Sawat iaitu di lima tempat antaranya Kampung Sungai Mau, Jalan Kandul Bukit Sawat, Jalan Kecil Laid Lakang, dan Kampung Merangking Hilir yang mengalami banjir di kawasan jalan raya tidak dapat dilalui kenderaan biasa dan pacuan empat roda, bagaimanapun tidak menjejaskan rumah.

Manakala itu, di kawasan Mukim Sukang, pagi ini, paras air naik hanya berlaku di kawasan Jalan Kecil menuju ke Sekolah Rendah Dato Maharaja Setia Dian, serta Pos Polis dan kawasan klinik.

Pegawai Balai Awang Muhammad Ali ketika menyerahkan jaket keselamatan kepada keluarga Awang Zaini.
Pegawai Balai Awang Muhammad Ali ketika menyerahkan jaket keselamatan kepada keluarga Awang Zaini.

Sementara itu, petang kelmarin, seorang penduduk Kampung Sungai Mau, Awang Zaini bin Haji Mohd Ramli dipinjamkan perahu berserta tujuh jaket keselamatan bagi keperluannya pergi dan balik ke tempat kerja serta untuk menghantar anak-anaknya pergi dan balik ke sekolah.

Perahu yang disediakan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) melalui Pusat Pengurusan Bencana Peringkat Daerah Belait itu telah diserahkan oleh Pegawai Balai Awang Muhammad Ali.

Awang Zaini yang mempunyai seramai enam orang tanggungan mempunyai sebuah perahu yang sudah rosak dan bocor serta tidak selamat untuk digunakan.

Turut hadir menyaksikan penyerahan perahu dan jaket keselamatan itu ialah Pemangku Ketua Kampung Bukit Sawat, Awang Mohamad bin Abdullah.

ARTIKEL YANG SAMA