Banjir tidak halang UPSR dijalankan

KOTA KINABALU, 12 Sept – Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di lima sekolah di daerah Beaufort, kira-kira 90 kilometer dari sini, berjalan seperti biasa meskipun sekolah berkenaan dilanda banjir.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Bukau, SK Maraba, SK Weston, SK Lubok dan SK Lingkungan juga tidak ditutup kerana cuma jalan ke sekolah berkenaan sahaja yang dinaiki air.

“Semua pusat peperiksaan dapat menjalankan peperiksaan (seperti biasa) hasil bantuan agensi-agensi kerajaan, Borneo Samudera (ladang sawit), polis, bomba dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan kepada media melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Kelima-lima sekolah berkenaan mempunyai 692 murid dengan 84 orang guru. – Bernama

Gambar fail – Banjir yang pernah melanda SK Bukau.