Bank Baiduri, Hua Ho anjur promosi beli-belah bersama

Bank Baiduri, Hua Ho anjur promosi beli-belah bersama

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Bank Baiduri dengan kerjasama Gedung Perniagaan Hua Ho akan mengadakan promosi membeli-belah bersama yang menawarkan hadiah-hadiah bernilai sehingga $50,000.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, Bank Baiduri berkata, bermula sekarang hingga 1 Januari 2017, pemegang kad Baiduri akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah seperti baucar-baucar membeli-belah daripada $500 hingga $5,000, ketuhar gelombang mikro dan seterika stim.

Untuk menyertai promosi Shop & Get Lucky ini, pemegang kad Baiduri hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya $50 dalam satu resit menggunakan kad mereka di gedung-gedung perniagaan Hua Ho yang ikut serta. Setiap $50 yang dibelanjakan menggunakan kad tersebut melayakkan mereka untuk mendapatkan satu peluang cabutan bertuah.

Promosi ini hanya terdapat di cawangan Hua Ho Manggis, Sengkurong, Tanjung Bunut dan Yayasan. Cabutan bagi promosi ini akan diadakan pada 6 November 2016 dan 8 Januari 2017.

Mengulas mengenai promosi ini, Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha berkata, ia merupakan satu lagi cara mereka memberi ganjaran kepada pelanggan atas sokongan dan kesetiaan mereka.

“Dalam zaman kemudahan transaksi tanpa wang tunai ini, pembayaran menggunakan kad memberikan pilihan perbelanjaan yang lebih selamat dan mudah untuk digunakan dan semua transaksi direkodkan, menjadikannya lebih mudah mengesan pembelian dan memerhatikan perbelanjaan.

“Kad-kad Baiduri kami juga menonjolkan pemberitahuan SMS yang mana pemegang kad menerima SMS daripada kami untuk mengesahkan transaksi,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA