Bank Baiduri muncul juara berpasukan

Bank Baiduri muncul juara berpasukan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Persatuan Bank-bank Brunei (BAB) baru-baru ini telah menganjurkan Kejohanan Boling Tahunan Antara Bank-bank di Pusat Boling Megastrike, Airport Mall di Berakas.

Sejumlah 48 peserta dari lapan anggota institusi BAB menyertai pertandingan boling itu bagi meraih tempat utama dalam Kategori Lelaki Perseorangan, Wanita Perseorangan dan Berpasukan.

Mohd Nazib Nasrudin dari Bank Baiduri muncul pemenang dalam Kategori Lelaki Perseorangan sementara Pengiran Mohd Rudisofy bin Pengiran Haji Tajuddin dari HSBC dan Leong Cheng Thai dari Maybank masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Dalam Kategori Wanita Perseorangan, Siti Salmiah binti Haji Abd Majid dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) membawa pulang hadiah pertama sebagai pemain paling tinggi kutipan mata, diikuti oleh Grace Lim dari Maybank dan Suzanah Haji Jaafar dari TAIB, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Rino Donosepoetro menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Berpasukan daripada Bank Baiduri.
Rino Donosepoetro menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Berpasukan daripada Bank Baiduri.

Kategori berpasukan menyaksikan institusi kewangan bersaing sesama mereka dan akhirnya Bank Baiduri muncul sebagai juara berpasukan manakala HSBC di tempat kedua dan dikuti BIBD di tempat ketiga.

Hadir untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengerusi BAB, Rino Donosepoetro.

Dalam ucapannya beliau antara lain berkata, “Acara kesukanan sentiasa menjadi aktiviti yang hebat untuk memantapkan silaturahim dan rangkaian di kalangan industri. Ini bukan sahaja memberi kita peluang mengembangkan hubungan profesional yang sedia wujud, malah turut membantu kita sentiasa dalam keadaan sihat.”

ARTIKEL YANG SAMA