Bank Baiduri Paling Selamat – Global Finance

Bank Baiduri Paling Selamat – Global Finance

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Bank Baiduri telah dinamakan sebagai Bank Paling Selamat di Negara Brunei Darussalam 2015 oleh majalah kewangan antarabangsa tersohor, Global Finance untuk tahun kedua berturut-turut.

Setiap tahun, Global Finance kerap memilih bank terbaik dalam kalangan bank-bank dan pembekal perkhidmatan kewangan lain berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan. Global Finance adalah sebuah majalah perbankan dan kewangan antarabangsa yang beribu pejabat di New York.

Bank-bank telah dipilih melalui penilaian penarafan jangka panjang mata wang asing – dari Moody’s, Standard & Poor dan Fitch – dan jumlah aset sebanyak 1,000 bank-bank terbesar di seluruh dunia. Kedudukan tahunan Bank Paling Selamat di Dunia telah menjadi standard keselamatan yang diiktiraf dan dipercayai oleh pihak kewangan selama lebih daripada 20 tahun.

Penerbit dan Pengarah Editorial Global Finance, Joseph D Giarraputo dalam satu kenyataan akhbar berkata, “Bank-bank di seluruh dunia berdepan landskap pasaran yang semakin sukar dan harus mendedikasikan masa dan sumber yang lebih banyak untuk menguruskan risiko agar kekal berdaya saing.

“Bank yang benar-benar berjaya mempunyai peluang untuk mentakrif semula hubungan mereka dengan pelanggan,” kata beliau sambil menambah, “Bank Paling Selamat menurut Global Finance berdasarkan kedudukan negara menyediakan syarikat-syarikat dan para pelabur dengan objektif dan analisis dari sebuah negara ke sebuah negara sebagai penanda aras.”

Mengulas mengenai pengiktirafan terbaru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof berkata, “Anugerah ini adalah satu lagi bukti kepada prestasi perniagaan dan risiko pengurusan kuat bank. Ia juga pengiktirafan kuat terhadap usaha padu untuk mengukuhkan ekuiti dan ‘balance sheet’ bank sejak beberapa tahun.”

Anugerah ini menandakan pengiktirafan antarabangsa keempat yang diterima oleh Bank Baiduri dalam tahun ini. Anugerah lain sebelum ini termasuk ‘Domestic Retail Bank of the Year bagi Brunei 2015’ untuk tahun ketiga berturut-turut dan ‘Inisiatif Perbankan Mudah Alih Terbaik untuk Brunei 2015’ buat kali pertama oleh Majalah Bank and Asian Finance, dan ‘Kumpulan Perbankan Terbaik Brunei 2015’ daripada Majalah World Finance.

ARTIKEL YANG SAMA