Bank Baiduri terbaik di Brunei

Bank Baiduri terbaik di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Bank Baiduri sekali lagi telah diiktiraf sebagai Kumpulan Perbankan Terbaik 2016 bagi Brunei oleh majalah World Finance, menandakan kali kelapan berturut-turut bank berkenaan menerima anugerah berkenaan sejak 2009.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, anugerah berkenaan telah disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof pada majlis yang berlangsung di London Stock Exchange Studios, London.

Mengulas mengenai pengiktirafan terkini itu, Pierre Imhof berkata, “Kami rasa berbesar hati dan berbangga untuk menerima anugerah Kumpulan Perbankan Terbaik 2016 buat tahun kelapan berturut-turut. Ini setentunya menandakan satu lagi kejayaan besar bagi Bank Baiduri dalam tempoh 20 tahun kami berkhidmat bagi orang Brunei.”

Menurut kenyataan itu lagi, berikutan daripada penyampaian anugerah tersebut, Imhof telah ditemu bual oleh penerbit World News Media, Paul Richardson mengenai perkembangan yang dibuat oleh kumpulan berkenaan sepanjang tahun kebelakangan.

Menyentuh mengenai perkhidmatan pelaburan di negara ini, beliau bercakap mengenai peralihan trend pelanggan ke arah kepelbagaian portfolio pelaburan, “Kami baru-baru ini melancarkan Baiduri Capital yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan pelaburan global.

Pierre Imhof ketika menerima anugerah berkenaan di London Stock Exchange Studios.
Pierre Imhof ketika menerima anugerah berkenaan di London Stock Exchange Studios.

“Menerusi platform perdagangan dalam talian, kami telah boleh berdagang dalam talian di pelbagai bursa saham antarabangsa seperti Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat,” tambahnya.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa dengan situasi ekonomi negara pada masa ini, terdapat keperluan bagi Brunei untuk mempelbagaikan (ekonomi).

“Satu aspek pempelbagaian adalah untuk menarik pelaburan langsung asing. Dengan pengumuman baru-baru ini mengenai Bank of China memasuki Brunei, saya raya ia adalah perkara baik. Manfaat daripada pempelbagaian ini patut dipindahkan kepada penduduk tempatan sama ada secara individu atau syarikat-syarikat,” ujarnya.

Temu bual berkenaan boleh dibaca di laman sesawang Bank Baiduri di www.baiduri.com atau laman sesawang World Finance di www.worldfinance.com.

World Finance adalah majalah dwibulanan cetakan dan dalam talian yang menyediakan liputan dan analisis komprehensif mengenai industri kewangan, perniagaan antarabangsa dan ekonomi global.

Majalah berkenaan menyasarkan pembaca profesional kewangan, dan para pelabur korporat dan persendirian, namun penjelasannya yang jelas menjadikannya dapat difahami dan penting dibaca oleh semua orang yang ingin memahami politik kewangan dalam abad ke-21.

ARTIKEL YANG SAMA