Bank Baiduri terima anugerah ABF

Bank Baiduri terima anugerah ABF

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Buat empat tahun berturut-turut, Bank Baiduri telah menerima ‘Bank Runcit Domestik Tahunan bagi Brunei 2016’ daripada Majalah Asian Banking & Finance (ABF).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, majlis penyampaian anugerah berkenaan telah dihoskan oleh syarikat penerbitan berkenaan di Hotel Shangri-La, Singapura, malam tadi, dan hadir menerima anugerah tersebut bagi pihak Bank Baiduri ialah Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha.

Mengulas mengenai anugerah berkenaan, Pengiran Azaleen dipetik sebagai berkata, “Kami gembira menerima anugerah ini buat empat tahun berturut-turut daripada majalah Asian Banking & Finance. Ini tidak akan dicapai tanpa sokongan kuat daripada pelanggan setia kami.”

Beliau seterusnya mengiktiraf usaha-usaha yang telah dibuat oleh pihak bank daripada segi inovasi produk dan perkhidmatan sebagai satu lagi faktor penting kepada kejayaan bank berkenaan.

Tim Charlton (kiri) bersama Pengiran Azaleen (kanan) semasa majlis penyampaian anugerah berkenaan di Hotel Shangri-La, Singapura.
Tim Charlton (kiri) bersama Pengiran Azaleen (kanan) semasa majlis penyampaian anugerah berkenaan di Hotel Shangri-La, Singapura.

“Kami mewujudkan Unit Perbankan Perniagaan di bawah Perbankan Runcit pada April tahun lalu untuk memberikan sokongan dan perkhidmatan kepada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita seperti Baiduri Internet Gateway System yang membolehkan peruncit menerima pembayaran dalam talian, Business i-Banking untuk membantu perniagaan dalam transaksi tanpa kertas dan membantu mereka dalam kemudahan kredit PKS di mana sesuai,” tambahnya.

Menyasarkan pelancaran pada Ogos ini, Baiduri tidak lama lagi akan menawarkan ‘MerchantSuite’, iaitu platform pembayaran dalam talian bagi PKS.

“Ini akan membolehkan perniagaan-perniagaan kecil atau penjual individual untuk mengeluarkan invois dan menerima pembayaran secara online tanpa perlu mempunyai laman sesawang,” jelas Pengiran Azaleen.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata bahawa untuk mencapai pelanggan yang lebih meluas, Bank Baiduri telah memindahkan dan menambahbaikkan beberapa cawangannya untuk menjadikan bank berkenaan lebih mudah diakses oleh para pelanggannya.

Sejak tahun 2006, majalah ABF telah memberi penghormatan dan mengiktiraf yang terbaik dalam industri perbankan dan kewangan di Asia. Ia memfokuskan kepada perbankan komersial dan runcit, serta pasaran sekuriti daripada perspektif perbankan.

ARTIKEL YANG SAMA