Bank Baiduri Tutong diberi nafas baru

Bank Baiduri Tutong diberi nafas baru

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 16 Ogos – Bagi menampung jumlah pelanggan yang semakin meningkat, Kumpulan Bank Baiduri telah memindah cawangan Daerah Tutongnya ke lokasi yang lebih luas di Petani Mall.

Sehubungan itu, majlis pembukaan semula cawangan berkenaan telah diadakan hari ini dan hadir bagi merasmikannya ialah Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof; Ketua Perbankan Runcit dan Rangkaian Cawangan, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Bank Baiduri serta para pelanggan Baiduri.

Cawangan Tutong merupakan cawangan ke-10 Bank Baiduri yang mula beroperasi pada Jun 2004 di Tutong Central Mall.

Pierre Imhof semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa cawangan Bank Baiduri yang baru ini telah diubahsuai sepenuhnya dan dipindahkan ke tempat yang lebih luas bagi memperbaiki dan menyediakan pengalaman perbankan yang lebih baik selain dapat menampung jumlah pelanggan yang semakin meningkat di daerah ini.

Tetamu kehormat dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri bergambar ramai bersama warga Bank Baiduri cawangan Daerah Tutong.
Tetamu kehormat dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri bergambar ramai bersama warga Bank Baiduri cawangan Daerah Tutong.
Majlis pembukaan Bank Baiduri baru cawangan Daerah Tutong dirasmikan oleh Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam.
Majlis pembukaan Bank Baiduri baru cawangan Daerah Tutong dirasmikan oleh Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam.
Bank Baiduri cawangan Daerah Tutong yang lebih luas dan selesa berbanding sebelum ini.
Bank Baiduri cawangan Daerah Tutong yang lebih luas dan selesa berbanding sebelum ini.

Ini kerana, terdapat permintaan pelanggan yang semakin meningkat dalam menggunakan produk perbankan dan perkhidmatan Baiduri serta perniagaan di daerah ini.

Projek Konfigurasi Rangkaian cawangan Bank Baiduri yang baru ini merupakan salah satu inisiatif Baiduri untuk meningkatkan pengalaman perbankan pelanggan secara keseluruhannya.

Peningkatan taraf cawangan Baiduri ini merupakan salah satu projek berterusan bank bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, jelas Imhof lagi.

Cawangan yang baru dilancarkan semula ini menyediakan ruang perbankan besar yang menawarkan perkhidmatan perbankan secara individu dan perniagaan serta perundingan perancangan kewangan dengan pakar perancangan kewangan.

Premis baru Baiduri ini juga menyediakan perkhidmatan Wi-Fi percuma serta ruang khas ATM yang selamat bagi menampung jumlah pelanggan yang semakin meningkat menggunakan transaksi elektronik.

Sejurus majlis merasmikan pembukaan semula, tetamu kehormat seterusnya dibawa melawat dan meninjau cawangan Bank Baiduri yang baru itu.