Bank besar takut berada di Iran

Bank besar takut berada di Iran

TEHRAN, 15 Mei (AFP) – Bank-bank besar Eropah masih lagi enggan bekerja di Iran selepas empat bulan sekatan antarabangsa dibatalkan, di bawah satu perjanjian nuklear bersejarah dengan kuasa-kuasa dunia, kata pegawai Iran hari ini.

“Bank-bank besar Eropah masih belum lagi berinteraksi dengan bank-bank Iran, namun beberapa buah institusi kewangan bersaiz sederhana dan kecil sudah mula menjalinkan hubungan termasuk surat pelawaan kredit,” timbalan menteri luar Abbas Araghchi memberitahu penyiar IRIB.

Dia menuduh ‘pelobi ekstremis’ di Amerika Syarikat, Israel dan Arab Saudi mencetuskan permusuhan terhadap Iran untuk mencegahnya daripada memperoleh faedah daripada perjanjian nuklear bersejarah yang ditandatangani Julai lalu.

Salah satu bank besar di Eropah BNP Paribas. - AFP
Salah satu bank besar di Eropah BNP Paribas. – AFP

Apabila perjanjian itu berkuat kuasa dalam Januari, Washington membatalkan sekatan secara langsung berkaitan dengan program nuklear Tehran namun mengekalkan yang lain dikenakan ke atas program misil balistiknya dan dakwaan sokongannya kepada kumpulan-kumpulan ‘pengganas’.

Beberapa buah bank sudah menerima denda besar di Amerika Syarikat pada masa lalu selepas didapati bersalah mencabuli sekatan AS terhadap Iran dan semua masih bimbang mendapat hukuman serupa.