Bank dibuka bantu mangsa banjir

Bank dibuka bantu mangsa banjir

MUMBAI, 6 Dis – Bank-bank di India beroperasi seperti biasa hari ini untuk membantu para penduduk yang ketiadaan bekalan makanan, elektrik dan akses kepada wang tunai di bandar selatan Chennai serta kawasan sekitarnya, tatkala mesin ATM sudah kosong atau terjejas operasi kerana ketiadaan bekalan elektrik.

Bandar keempat terbesar di India itu dilanda hujan lebat – yang paling lebat dalam tempoh seabad – sejak lima hari lepas, dan kerajaan meminta bank agar menyediakan perkhidmatan asas dan membekalkan mesin tunai dengan kadar segera, menyalurkan bekalan wang tunai dengan bot atau menyediakan khidmat ATM bergerak jika sesuai.

Dalam satu kenyataan lewat semalam, Bank Simpanan India, bank pusat negara itu, berkata ia akan dibuka seperti biasa untuk menyokong transaksi perbankan dan membantu membekalkan tunai kepada para peminjam tempatan.

Kira-kira 280 orang maut di seluruh negeri Tamil Nadu sejak ia dilanda hujan lebat pada 1 Disember yang menyebabkan sebahagian besar bahagian ibu negeri Chennai ditenggelami banjir sedalam 2.5 meter, yang menyebabkan sebahagian penduduk terperangkap di atas bumbung rumah dengan tiada peralatan komunikasi. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA