Bank Dunia jangka KDNK Malaysia catat pertumbuhan

Bank Dunia jangka KDNK Malaysia catat pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) – Bank Dunia menjangka keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia akan mencatat pertumbuhan 4.5 peratus tahun depan serta 2017, satu semakan semula berdasarkan data perdagangan yang semakin baik.

Pengarah Serantau Kumpulan Bank Dunia Asia Tenggara, Dr Ulrich Zachau berkata, semakan semula daripada 4.2 peratus yang dibuat sebelum ini adalah sebagai respons kepada data baharu yang diterima yang menunjukkan peningkatan prestasi keseluruhan eksport Malaysia baru-baru ini, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik.

“Berdasarkan data diperoleh, kami mengunjurkan pertumbuhan 4.5 peratus tahun depan. Ia masih lagi prestasi pertumbuhan yang cergas jika kita mempertimbangkan persekitaran pertumbuhan global yang tidak menggalakkan.

“Apabila data baharu keluar, kami akan terus membuat pelarasan. Jika data yang dikeluarkan nanti lebih kukuh, ia akan diselaraskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia di sini, hari ini.

Laporan itu mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan kekal pada 4.7 peratus pada 2015 dan merosot kepada 4.5 peratus pada 2016, prestasi yang mencerminkan kelembapan permintaan domestik pada 2015 berikutan keadaan fiskal yang lebih ketat yang dijangka berterusan pada 2016 dan 2017.

Keseluruhannya, permintaan domestik dijangka berkembang, kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam konteks permintaan global yang lembap, kata laporan berkenaan.

Pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Ke-10 awal bulan ini, Ketua Pakar Ekonomi Untuk Asia Timur dan Rantau Pasifik Bank Dunia, Sudhir Shetty meramalkan Malaysia akan mencatat pertumbuhan 4.2 peratus pada 2016 sebelum meningkat semula secara beransur-ansur pada 2017.

Shetty dilaporkan sebagai berkata, walaupun dasar semasa Malaysia menawarkan asas yang baik, bagi mengharungi ketidaktentuan global, ia perlu mempertimbang untuk meningkatkan prestasi sektor awam, mempercepat pembangunan modal insan serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

ARTIKEL YANG SAMA