Bank Dunia kurangkan unjuran pertumbuhan global 2.4%

Bank Dunia kurangkan unjuran pertumbuhan global 2.4%

WASHINGTON, 8 Jun – Bank Dunia mengurangkan ramalan tahun 2016 untuk ekonomi global, memetik pertumbuhan yang lembap di negara kaya, harga komoditi rendah dan kelemahan dalam perniagaan dan pelaburan global.

Agensi pembangunan yang berpangkalan di Washington, yang meramalkan pada Januari bahawa pertumbuhan akan mencecah 2.9 peratus, mengurangkan prospek kepada 2.4 peratus.

Harga yang lebih rendah untuk minyak dan eksport komoditi lain dari ekonomi membangun menyumbang kepada lebih separuh daripada kemerosotan, kata Bank Dunia dalam pengemaskinian laporan Prospek Ekonomi Global.

Negara eksport komoditi terutamanya sedang bergelut untuk menyesuaikan diri, kata laporan.

“Pertumbuhan lembap ini menekan-kan kenapa adalah penting untuk negara mengamalkan dasar yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan mempertingkat kehidupan mereka yang hidup dalam keadaan miskin,” kata Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim dalam satu kenyataan.

“Pertumbuhan ekonomi masih merupakan penjana paling penting dalam pembasmian kemiskinan, dan itulah sebabnya kenapa kami berasa amat bimbang bahawa pertumbuhan sedang meleset mendadak di negara membangun yang mengeksport komoditi disebabkan harga komoditi yang meleset.”

Sebagai satu kumpulan, ekonomi membangun berkenaan yang bergantung pada eksport komoditi kini diramalkan akan berkembang pada kadar 0.4 peratus pada 2016, merosot daripada 1.6 peratus dalam prospek Januari.

Kemelesetan berterusan di Rusia dan Brazil diramalkan lebih teruk pada tahun ini berbanding yang diramalkan pada Januari. – dpa