Bank Dunia umum pelan tangani perubahan iklim

Bank Dunia umum pelan tangani perubahan iklim

WASHINGTON, 8 April (Bernama) – Bank Dunia mengumumkan pelan membantu negara membangun menambah 30 gigawatt tenaga boleh diperbaharui untuk keperluan tenaga dunia, lapor agensi berita China Xinhua pada Khamis.

Selain itu, sebanyak AS$25 bilion akan disediakan untuk pembiayaan sektor swasta dalam menghasilkan sumber tenaga bersih menjelang 2020.

Pelan Tindakan Perubahan Iklim yang dikeluarkan oleh bank berpangkalan di Washington itu turut dihasilkan untuk membantu negara membangun memenuhi ikrar terhadap Paris COP21 selain bertujuan menguruskan peningkatan kesan buruk akibat perubahan iklim.

Di bawah pelan itu, Bank Dunia akan menambahkan peruntukan empat kali ganda untuk kemudahan daya ketahanan iklim dan membantu meransang pengurusan perhutanan dan perikanan yang mampan.

Menurut Bank Dunia perubahan iklim boleh mengancam dan menyebabkan lebih 100 juta orang menjadi miskin dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Selain usaha Bank Dunia itu, Perbadanan Kewangan Antarabangsa juga akan meluaskan pelaburannya daripada AS$2.2 bilion setahun kepada AS$3.5 bilion bakal membawa manfaat tambahan AS$13 bilion setahun dalam pembiayaan sektor swasta menjelang 2020.

Menurut Presiden Kumpulan Bank Dunia Jim Yong Kim berdasarkan perjanjian Iklim Paris tindakan yang berani perlu diambil bagi tujuan memulihara bumi demi generasi akan datang.

“Kita sedang bergerak pantas membantu negara membangun melakukan perubahan besar untuk meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pengeluaran karbon yang tinggi, membangunkan kelastrian serta sistem pengangkutan teknologi hijau dan mewujudkan bandar yang boleh didiami oleh semua,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA