Bank Greece dibuka semula

Bank Greece dibuka semula

ATHENS, 20 Julai – Bank Greece dibuka semula hari ini selepas penutupan tiga minggu yang dikenakan oleh kerajaan untuk mengelak satu kejatuhan dalam sistem perbankan disebabkan krisis hutang negara.

Kawalan modal yang dikuatkuasakan sejak 29 Jun masih dikenakan, walaupun had pengeluaran wang tunai harian sebanyak 60 euro telahpun dilonggarkan sekarang.

Louka Katseli, ketua persatuan bank Greece, berkata penduduk Greece sekarang boleh mengeluarkan maksimum 300 euro sekali gus sehingga Jumaat, apabila had mingguan baru sebanyak 420 euro akan dikuatkuasakan.

Beliau juga menggesa penduduk Greece supaya membawa simpanan mereka kembali kepada bank.

“Jika kami mengeluarkan wang daripada peti simpanan kami dan rumah kami, di mana, dalam mana-mana kes, ia tidak selamat, dan kami menyimpannya dalam bank, kami akan memperkukuh kecairan,” beritahunya kepada saluran Mega TV.

Warga emas menerima nombor hak istimewa semasa menunggu di luar sebuah bank, menjelang pem-bukaannya pada 20 Julai di Athens. - AFP
Warga emas menerima nombor hak istimewa semasa menunggu di luar sebuah bank, menjelang pem-bukaannya pada 20 Julai di Athens. – AFP

Kira-kira 40 bilion euro telahpun dikeluarkan daripada bank Greece sejak Disember, katanya, menjejas teruk keupayaan mereka untuk berfungsi dengan normal.

Namun untuk dua pelanggan yang sedang menunggu di luar bank cawangan Alphabank di tengah Athens, timbulnya kebimbangan baru.

Maria telah datang untuk membayar bil elektrik yang tidak mampu dibayarnya ketika penutupan bank, sementara Grigoris, pesara berusia 76 tahun, berusaha mengeluarkan elaun wang tunai maksimum baru untuk minggu itu.

Beliau berasa kecewa had baru 420 euro itu tidak akan dikuatkuasakan sehingga hujung minggu.

“Saya diberitahu saya perlu menunggu sehingga Jumaat untuk mengeluarkan jumlah tersebut,” katanya.

Penduduk Greece kini boleh menggunakan kad kedit mereka untuk pembelian asing sekali lagi. Beberapa pengecualian kepada kawalan modal juga telah diperkenalkan, termasuk langkah untuk membenarkan pemindahan bank kepada kira-kira 5,000 euro sesuku kepada belia Greece yang belajar di luar negara, sementara warga Greece yang menjalani penjagaan perubatan di negara lain hanya akan dibenarkan mengeluarkan 2,000 euro sehari. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA