Bank Greece tutup hingga 6 Julai

Bank Greece tutup hingga 6 Julai

ATHENS, 29 Jun (AFP) – Bank di Greece akan ditutup hingga 6 Julai ini, sehari selepas pungutan suara berhubung cadangan menyelamatkan kewangan negara itu.

Sepanjang tempoh penutupan itu, pengeluaran tunai di mesin juruwang automatik (ATM) juga dihadkan pada hanya 60 euro (RM252.40) sehari, demikian mengikut satu warta yang dikeluarkan hari ini.

Warta mengenai langkah kawalan modal itu yang diterbitkan kerajaan bertajuk ‘Bank Cuti’, menyenaraikan langkah yang dikenakan terhadap institusi kewangan mulai 28 Jun hingga 6 Julai dan ditandatangani Presiden, Prokopis Pavlopoulos dan Perdana Menteri, Alexis Tsipras.

Warta itu menyebut mengenai keadaan mendesak dan tidak dijangkakan untuk melindungi sistem kewangan dan ekonomi Greece berikutan kekurangan kecairan disebabkan keputusan Kumpulan Euro pada 27 Jun untuk tidak melanjutkan tempoh perjanjian hutang dengan negara itu.

Orang ramai bersusun di luar mesin ATM di Greece berikutan arahan penutupan bank selama seminggu. – AFP
Orang ramai bersusun di luar mesin ATM di Greece berikutan arahan penutupan bank selama seminggu. – AFP