Bank Malaysia patuh modal dan mudah tunai

Bank Malaysia patuh modal dan mudah tunai

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) – Bank-bank Malaysia merupakan antara bank di rantau ASEAN yang mematuhi syarat-syarat modal dan mudah tunai ketat di bawah Basel III, demikian menurut laporan Moody’s Investors Service.

Moody’s dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata laporan itu juga menyenaraikan bank-bank di rantau ASEAN yang berada Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina sebagai mempunyai permodalan yang baik dan memenuhi syarat-syarat modal minimum tinggi di bawah Basel III.

Naib presiden dan penganalisis kanan Moody’s, Alka Anbarasu berkata kebanyakan bank-bank sudahpun mematuhi 100 peratus dengan 60 peratus nisbah liputan mudah tunai minimum di bawah Basel III.

Bagaimanapun, beliau berkata, perbezaan negara menjadikannya sukar untuk membandingkan nisbah dilaporkan itu dalam sistem perbankan berbeza.

“Mengenai isu peraturan perbankan tambahan, kami menyedari pengawal selia di rantau ini kelihatan teragak-agak untuk menerima garis panduan ‘bail-in’ dan modal menyerap kerugian (TLAC), kerana mereka menunggu penjelasan lebih lanjut daripada Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB),” katanya.

Anbarasu juga menjangkakan terbitan sekuriti terpilih Basel III oleh bank-bank di seluruh ASEAN, terutamanya, untuk menggantikan legasi sekuriti lama yang akan dipanggil dalam tempoh 2015-2017.

ARTIKEL YANG SAMA