Bank Negara batal kebenaran diberi kepada 1MDB

Bank Negara batal kebenaran diberi kepada 1MDB

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) – Bank Negara Malaysia (BNM) membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) untuk pelaburan di luar negeri sebanyak US$1.83 bilion.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata ia turut meminta 1MDB untuk membawa balik jumlah tersebut ke Malaysia dan mengemukakan kepada BNM perancangannya berkaitan perkara itu.

Di bawah siasatannya, BNM berkata ia merumuskan bahawa kebenaran yang diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB di luar negeri adalah berdasarkan pendedahan maklumat relevan yang dikehendaki BNM semasa membuat penilaian terhadap permohonan 1MDB itu.

“Sebagai pihak berkuasa siasatan, Bank Negara bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan pada tahap profesional yang paling tinggi dan terperinci. BNM menghendaki pendedahan maklumat yang tepat dan lengkap setiap masa apabila mempertimbangkan sebarang permohonan di bawah ECA,” katanya.

Sebagai hasil daripada siasatan, BNM berkata, ia mencadangkan Peguam Negara melaksanakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB di atas kesalahan di bawah ECA. “Perlu diketahui bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, keputusan untuk memulakan sesuatu pendakwaan jenayah terletak sepenuhnya pada Peguam Negara,” katanya.

BNM berkata ia akan terus memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.