Bank Negara Malaysia tidak tambat ringgit

Bank Negara Malaysia tidak tambat ringgit

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Bank Negara Malaysia tidak akan menambat ringgit meskipun prestasi turun naik tidak menentu mata wang tempatan itu disebabkan persekitaran luaran, kata Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim, hari ini.

“Ringgit tidak boleh ditentukan oleh keadaan spekulatif. Parasnya perlu disokong dan ditentukan oleh asas-asas yang mendasari seperti urus niaga yang dikontrakkan oleh bank-bank setiap hari.

“Itulah caranya bagaimana harga ringgit perlu ditentukan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berkembang 4.3 peratus dalam suku ketiga tahun ini.

“Tolong jangan tentukan harga ringgit tidak selaras dengan asas-asas yang sepatutnya. Itu sangat penting.

“Ini mungkin memerlukan panduan tertentu yang bank-bank tidak seharusnya melakukan perkara tertentu buat sementara waktu, tidak kekal, hanya untuk meredakan pasaran.

Datuk Muhammad Ibrahim (dua kanan) ketika sidang akhbar Pengumuman Prestasi Ekonomi Pada Suku Ketiga Tahun 2016 di Bank Negara Malaysia kelmarin. - Bernama
Datuk Muhammad Ibrahim (dua kanan) ketika sidang akhbar Pengumuman Prestasi Ekonomi Pada Suku Ketiga Tahun 2016 di Bank Negara Malaysia kelmarin. – Bernama

“Saya rasa ia adalah bahagian yang sangat penting kerana kita tidak mahu pasaran ditentukan oleh perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan asas-asas ekonomi Malaysia,” kata gabenor itu, apabila ditanya tentang penurunan mendadak ringgit awal hari ini.

Menurut laporan agensi, kontrak hadapan mutlak sebulan ringgit atau kadar luar pesisir, turun kepada 4.5280 berbanding dolar AS, manakala kadar semerta juga dikenali kadar dalam negeri, berada pada 4.2670.

“Ringgit akan terus berdepan situasi turun naik disebabkan oleh keadaan tidak menentu persekitaran luaran. Nilai ringgit tidak boleh ditentukan oleh keadaan spekulatif,” katanya.

Ringgit turun berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau semasa suku ketiga, katanya.

Beliau berkata ini merupakan cerminan daripada peralihan sentimen pelabur dan aktiviti pengimbangan semula pelabur portfolio sepanjang suku tersebut, dipengaruhi kebanyakannya oleh peristiwa luaran.

“Meskipun semua mata wang serantau terjejas oleh keadaan tidak menentu bagi penentuan masa penormalan kadar faedah AS, ringgit dan mata wang negara pengeksport komoditi lain berdepan dengan pelarasan tambahan disebabkan oleh harga minyak mentah yang amat tidak menentu semasa suku tersebut,” katanya.

Muhammad juga berkata jangkaan satu lagi kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS bulan depan akan terus menjejaskan sentimen pelabur ditambah dengan ketidakpastian akan dasar AS di bawah presiden yang baru dilantik Donald Trump.

Harga minyak mentah global dijangka terus turun naik disebabkan oleh bekalan tidak menentu dan situasi permintaan, terutamanya menjelang mesyuarat akan datang Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum pada akhir November ini.

Keseluruhannya, ringgit susut sebanyak tiga peratus berbanding dolar AS semasa suku tersebut. Ringgit turut turun berbanding euro (-3.9 peratus), yen Jepun (-4.2 peratus) dan dolar Australia (-5.5 peratus), tetapi meningkat berbanding pound sterling (0.2 peratus).

Ringgit juga susut berbanding semua mata wang serantau kecuali peso Filipina, sebanyak antara 1.8 peratus dan 7.3 peratus.

Bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus semasa Mesyuarat Dasar Monetari September, selepas menurunkannya pada Julai.

Tahap monetari yang akomodatif itu konsisten dengan pendirian dasar untuk memastikan pertumbuhan kukuh dalam keadaan inflasi stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan yang terus utuh. – Bernama