Bank pusat Indonesia turunkan kadar faedah

Bank pusat Indonesia turunkan kadar faedah

JAKARTA, 15 Jan (Reuters) – Bank pusat Indonesia merendahkan kadar faedahnya bagi merangsang ekonomi republik itu yang didapati berkembang pada kadar yang paling perlahan dalam tempoh enam tahun.

Kadar dasar penanda aras itu diturunkan sebanyak 25 mata asas kepada 7.25 peratus, sementara kadar kemudahan deposit semalaman dan kadar kemudahan pembiayaan, masing-masing dikurangkan dalam jumlah yang sama kepada 5.25 peratus dan 7.75 peratus.

Kali terakhir kadar penanda aras itu berubah adalah pada Februari apabila ia diturunkan sebanyak 25 mata asas kepada 7.50 peratus. Keputusan itu diumumkan selepas kejadian letupan dan tembakan di tengah Jakarta, kurang dua kilometer dari tempat Bank Indonesia mengadakan mesyuarat dasar pertamanya bagi 2016.

Seramai 10 daripada 16 penganalisis dalam pungutan suara Reuters menjangkakan pengurangan kadar faedah. Beberapa penganalisis jangka pengurangan itu akan menjadi yang pertama dalam kitaran pelonggaran. BI berkata, ia akan menilai keperluan pelonggaran dasar monetari pada masa depan.

Rupiah, yang mana kestabilannya menjadi kebimbangan utama bagi bank pusat Indonesia, lemah selepas serangan Jakarta dan diperkukuhkan sedikit selepas pengumuman pengurangan kadar.

Ahli ekonomi mengalu-alukan pengurangan kadar. Pada mesyuarat dasar sejak Oktober, Bank Indonesia berkata ia menyaksikan ruang yang luas untuk melonggarkan dasar monetari, tetapi ia menahan diri daripada mengurangkan kadar penanda aras lebih awal daripada kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) buat pertama dalam tempoh hampir sedekad.