Bank Rakyat lantik pengerusi baru

Bank Rakyat lantik pengerusi baru

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Bank Rakyat, yang merupakan bank koperasi Islam yang terbesar di Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Haji Zainal (B) sebagai pengerusi baharunya, berkuat kuasa mulai 16 Julai, 2015.

Dalam satu kenyataan, Bank Rakyat berkata Abdul Aziz akan menggantikan Datuk Mat Noor Nawi yang berkhidmat sejak 28 April, 2014 sehingga ke hari ini.

Abdul Aziz merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-14 yang telah memegang portfolio tersebut selama dua tahun sejak dari 2007 sehingga 2009.

Beliau juga merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke Perancis dari tahun 2010 hingga 2013 dan merupakan Panglima Angkatan Tentera pertama dilantik sebagai duta.

Menurut bank itu,  pelantikan Abdul Aziz sebagai Pengerusi Bank Rakyat amat bertepatan dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau dalam bidang komunikasi strategik dan pengurusan perniagaan yang bakal menjadikan Bank Rakyat sebagai bank koperasi Islam yang berprestij.

Bank Rakyat juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mat Noor Nawi atas jasa dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang menerajui Bank Rakyat. – Bernama