Bantah naik duti import minyak sawit

Bantah naik duti import minyak sawit

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi giat menjalankan kempen bagi membantah cadangan senat Perancis untuk menaikkan duti import terhadap minyak sawit, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya Datuk Noriah Kasnon berkata antara tindakan yang diambil termasuk mengeluarkan kenyataan bersama dengan Indonesia untuk membantah cadangan tersebut selain mengemukakan surat bantahan kepada duta besar Perancis yang telah disampaikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Douglas Uggah Embas sendiri.

“Kita menyatakan bahawa tindakan Perancis merupakan satu diskriminasi terhadap minyak sawit dan pastinya akan memberikan implikasi negatif terhadap pekebun kecil kita yang membentuk 40 peratus daripada jumlah keseluruhan peladang,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom).

Raime bertanyakan pendekatan yang diambil kementerian berikutan tindakan Perancis yang ingin menaikkan cukai import terhadap minyak sawit sehingga 900 euro setan.

Noriah berkata kementerian juga bekerjasama dengan French Sustainable Palm Oil Alliance dan French Food Association untuk mendapatkan sokongan daripada anggota senat Perancis sebelum senat Perancis bersidang untuk memutuskan cadangan untuk menaikkan tarif duti import minyak sawit berkenaan.

Beliau berkata beliau kementerian juga bercadang untuk mengadakan satu misi khas ke Perancis sebelum senat Perancis bersidang pada Mei atau Jun untuk tindakan susulan melobi dengan menuntut keprihatinan anggota senat Perancis tentang kedudukan pekebun-pekebun kecil negara ini yang akan terjejas sekiranya duti import minyak sawit dinaikkan.

Kesatuan Eropah merupakan pasaran eksport minyak sawit ketiga terbesar Malaysia bagi tempoh 2010 hingga 2015 dengan nilai eksport ke rantau berkenaan berjumlah RM35.64 bilion bagi tempoh berkenaan.