Bantahan besar singkir Dilma

Bantahan besar singkir Dilma

BRASILIA, 13 Mac (AFP) – Lebih sejuta orang dijangka membanjiri jalan raya di Brazil hari ini dalam bantahan anti kerajaan besar-besaran yang menggesa bagi penyingkiran Presiden Dilma Rousseff berhubung skandal rasuah dan ekonomi yang musnah.

Negara terbesar di Amerika Latin itu yang akan menjadi tuan rumah bagi Olimpik Musim Panas di Rio de Janeiro Ogos nanti, dalam krisis serius ekonomi dan politik, dengan kebimbangan tunjuk perasaan boleh mencetuskan pertempuran.

“Saya merayu tidak akan berlaku keganasan,”Rousseff memberitahu media Brazil lewat semalam.

“Saya berpendapat semua orang berhak berada di jalan raya. Bagaimanapun tidak sesiapa berhak untuk menjadi ganas. Tidak siapa pun.”

Tunjuk perasaan terbesar itu dijangkakan di Sao Paulo, bandar kewangan negara itu dan kubu kuat parti pembangkang utama.

Dilma Rousseff bercakap semasa persidangan berita di Istana Planalto di Brasilia, Brazil pada 1 Mac. – Reuters
Dilma Rousseff bercakap semasa persidangan berita di Istana Planalto di Brasilia, Brazil pada 1 Mac. – Reuters

Pihak berkuasa mengatakan mereka bersiap sedia bagi sejuta orang pembantah.

Awal hari ini, tunjuk perasaan besar akan bermula di Rio dan Brasilia. Para penganjur berkata kira-kira 400 buah bandar akan mengadakan bantahan.

“Keinginan popular ini akan diaturkan dan meraih pengaruh,” kata Bonifacio de Andrada, penolong parti pembangkang PSDB.

“Orang ramai akan pergi ke jalan-jalan raya bagi tunjuk perasaan besar untuk menuntut perubahan kerajaan.”

Rousseff yang amat tidak popular kerana skandal besar rasuah yang bertumpu pada syarikat minyak kerajaan, Petrobras dan kerana pengurusan beliau ke atas kemelesetan teruk negara dalam tempoh beberapa dekad, berdepan pendakwaan di Kongres.

Ketua mentornya dalam parti berhaluan kiri, Parti Pekerja, bekas presiden Luiz Inacio Lula da Silva, menentang dakwaan bahawa dia adalah sebahagian rangkaian rasuah Petrobras.

Seolah-olah tidak mencukupi, parti PMDB, rakan penting Rousseff dalam gabungan goyah kerajaan semalam mengatakan ia mungkin keluar dalam tempoh 30 hari.

ARTIKEL YANG SAMA