Bantahan GST semakin meningkat

Bantahan GST semakin meningkat

KUALA LUMPUR, 10 Mei (AFP) – Cukai pengguna baru yang tidak digemari ramai telah memberi senjata baru kepada pengkritik Perdana Menteri Malaysia dengan para pengguna yang meradang merungut cukai itu mengakibatkan beberapa kenaikan harga, dan ahli ekonomi memberi amaran ia boleh menjejaskan pertumbuhan.

Pada 1 April kerajaan telah memperkenalkan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) enam peratus yang mengenakan cukai ke atas transaksi seluruh rangkaian bekalan perniagaan dan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sebelumnya ke atas pengguna dari 6 hingga 10 peratus.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan berkata sistem cukai yang diperkemas akan membawa kepada harga lebih rendah bagi kebanyakan barangan utama dan meningkatkan hasil kerajaan di dalam ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara itu.

Pakar-pakar bersetuju reformasi cukai terbesar Malaysia dalam tempoh beberapa dekad adalah perlu – kurang tiga juta dari 30 juta rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan dan hutang kerajaan yang banyak telah membimbangkan ahli-ahli ekonomi.

Namun pelaksanaan ini telah menyebabkan kekeliruan ramai tentang bagaimana cukai itu berfungsi, aturan pengecualiannya dan kenyataan yang bercanggah, dengan kebanyakan perniagaan menaikkan harga di tengah ketidakpastian.

Isu itu telah mencetuskan bantahan Hari Pekerja oleh beribu-ribu penentang dan telah memberikan cadangan baru kepada pasukan parti memerintah, yang mahukan penyingkiran Perdana Menteri Najib Razak berhubung tuduhan rasuah dan pengurusan salah.

“Kami ialah mangsa ekonomi yang salah diurus. GST menjejaskan kelas miskin dan pertengahan seperti saya,” kata seorang guru prasekolah di Kuala Lumpur, Siti Nora Manaf, 62 tahun.

Seperti kebanyakan pengguna Malaysia, dia telah pun berdepan kos meningkat, dengan mata wang ringgit pada tahapnya yang paling lemah dalam tempoh beberapa tahun disebabkan kebimbangan berhubung impak dari harga minyak dunia yang rendah.

Siti Nora berkata harga satu beg beras – dikatakan dikecualikan dari GST – telah meningkat 40 peratus sejak 1 April di tengah kekeliruan. Dia telah mula menanam sayur di kebun kecil di rumahnya, sementara mengurangkan kos hidup lain.