Bantahan ribuan petani padi bertukar ganas

Bantahan ribuan petani padi bertukar ganas

MANILA, 1 April (Reuters) – Polis Filipina melepaskan tembakan ketika satu bantahan oleh ribuan petani padi yang kehilangan tanaman mereka, bertukar ganas hari ini, mengorbankan seorang dan mencederakan kira-kira dua belas orang, menurut ketua kumpulan perladangan.

Kira-kira 6,000 orang petani menyekat sebahagian lebuh raya utama di wilayah Utara Cotabato di pulau selatan Mindanao, dengan menuntut bantuan kerajaan selepas kemarau ekoran fenomena El Nino yang menjejaskan ratusan ribu hektar tanah ladang.

“Letusan kuat tembakan senjata meledak,” Norma Capuyan, ketua kumpulan petani, memberitahu para pemberita.” Banyak sekali tembakan yang dilepaskan. Kami berlari ke halaman gereja dan polis mengepung kami.”

Seorang petani terbunuh di tempat kejadian dan kira-kira dua belas orang lagi cedera di kaki dan bahu, menurut Capyuan, dengan menambah kata pihak polis terlebih dahulu telah cuba meleraikan mereka dengan meriam air tetapi mula melepaskan tembakan apabila mereka menguasai kawasan mereka.

Gabenor Utara Cotabatu Emmylou Mendoza berkata kira-kira 20 orang polis tercedera apabila para petani menyerang mereka dengan kayu dan batu. Menurutnya tembakan pertama dilepaskan oleh para pembantah.

Polis telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan ia sedang menjalankan siasatan.

“Sebarang pencabulan ke atas peraturan polis negara, akan dikenakan hukuman yang wajar,” jurucakap polis negara Ketua Superintenden Wilben Mayor berkata dalam satu kenyataan.

Bantahan bermula Rabu lalu apabila para petani menyekat lebuh raya di Kidapawan, menuntut dialog dengan gabenor dan mengeluarkan 15,000 guni beras yang dijanjikannya kepada mereka sebagai bantuan.