Bantahan terhadap kebocoran toksik Formosa

Bantahan terhadap kebocoran toksik Formosa

HANOI, 1 Mei (AFP) – Beratus orang berkumpul hari ini di ibu negara Vietnam untuk membantah terhadap sebuah syarikat Taiwan yang disyaki terbabit dalam satu kebocoran toksik yang telah melanda industri perikanan di sepanjang pantai tengah.

Bertan-tan kima mati ditemui pada minggu lalu di wilayah Ha Tinh di mana ikan mulai terdampar di pantai pada awal April, sekaligus mencetuskan bantahan awam. Kawasan itu menjadi tempat tinggal kepada sebuah kilang keluli besar yang dikendalikan oleh konglomerat Taiwan, Formosa.

Laporan di media sosial berkata beratus penunjuk perasaan juga berkumpul di Bandar Ho Chi Minh di selatan. Walaupun satu siasatan rasmi masih diteruskan, media telah menyalahkan saluran paip air buangan sepanjang 1.5 kilometer daripada kilang keluli Formosa ke lautan.

Syarikat itu mempunyai sejarah lama skandal alam sekitar di seluruh dunia, walaupun siasatan masih belum menghubung kaitkan operasi Formosa dengan keracunan ikan.

Chou Chun Fan, seorang pegawai syarikat Formosa, dipecat selepas beliau berkata warga Vietnam “perlu memilih sama ada menangkap ikan dan udang atau membina kilang keluli moden.”

Penunjuk perasaan warga Vietnam menunjuk perasaan terhadap konglomerat Taiwan Formosa semasa perhimpunan di pusat bandar Hanoi Kelmarin. – AFP
Penunjuk perasaan warga Vietnam menunjuk perasaan terhadap konglomerat Taiwan Formosa semasa perhimpunan di pusat bandar Hanoi Kelmarin. – AFP

Syarikat itu meminta maaf atas komen tersebut dan telah melancarkan siasatannya sendiri. Pegawai di negara komunis itu telah mengaku gagal dalam cara mereka mengendali kejadian tersebut. “Respon kami dalam krisis alam sekitar adalah perlahan,” kata Menteri Alam Sekitar Tran Hong Ha dalam akhbar Tuoi Tre.

Formosa telah diarahkan supaya menaikkan saluran paip “untuk menjadikannya lebih senang untuk diawasi dan diselia,” tambah beliau. Perdana Menteri yang baru dilantik Nguyen Xuan Phuc telah berikrar akan “menghukum serius” mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.

Laporan media berkata sebelumnya bahawa Formosa telah mengimport kira-kira 300 tan bahan kimia toksik untuk membersihkan saluran paip air buangan, hantaran yang dikatakan tidak diketahui oleh Pentadbiran Alam Sekitar Vietnam. Laporan tidak berkata sama ada bahan kimia tersebut telah digunakan.

ARTIKEL YANG SAMA