Banteras jenayah demi kesejahteraan

Banteras jenayah demi kesejahteraan

BANDAR SERI BEGAWAN 9 Sept – Pasukan Polis Diraja Brunei telah menangkap dua warga asing yang membawa kepada penemuan semula sebuah kereta curi yang dilaporkan hilang pada 22 Ogos lalu dalam Operasi Rondaan Sepadu di antara Balai Polis Limau Manis, ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Pengkalan Batu dan Skuad Tindakan Segera (STS) Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang diterima kelmarin itu, operasi yang dijalankan pada kira-kira 12:40 malam itu telah mendapati dua warga asing berkenaan berada di dalam kereta mencurigakan (yang dipercayai kereta curi) dengan plat lesen depan dan belakang berlainan di sebuah tempat letak kereta di kawasan industri Kampung Junjungan.

Setelah siasatan dijalankan kedua-dua warga asing itu telah dihadapkan ke mahkamah pada 27 Ogos lalu untuk membenarkan mereka ditahan reman bagi melengkapkan kertas penyiasatan kes berkenaan.

Hasil penyiasatan lanjut menunjukkan bahawa kedua-dua warga asing tersebut telah memiliki barang curi (kereta yang pernah dilaporkan hilang di Balai Polis Sengkurong) dan didakwa di bawah Bab 28(1) Akta Kesalahan Kecil iaitu memiliki barang curi.

Operasi Rondaan Sepadu di kawasan Mukim Pengkalan Batu telah mendapati sebuah kereta mencurigakan dengan dua warga asing di dalamnya.
Operasi Rondaan Sepadu di kawasan Mukim Pengkalan Batu telah mendapati sebuah kereta mencurigakan dengan dua warga asing di dalamnya.

Atas penangkapan itu, pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama ahli PK kerana berjaya membanteras jenayah dan dengan adanya operasi rondaan tersebut, ia menunjukkan hasil komitmen yang tinggi dan secara tidak langsung orang awam turut membantu Pasukan Polis Diraja Brunei dalam mencegah jenayah demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk di negara ini.

Sementara itu, Daerah Polis Temburong, baru-baru ini juga telah mengadakan operasi pencegahan jenayah dengan kerjasama Unit Pengawasan Kejiranan Balai Polis Bangar, Ibu Pejabat Daerah Polis Temburong dan Pengawasan Kejiranan (PK) Labu Estate.

Gambar ramai Unit Pengawasan Kejiranan Daerah Polis Temburong dengan gandingan ahli PK Labu Estate yang ikut serta menjalankan operasi pencegahan jenayah pada malam tersebut.
Gambar ramai Unit Pengawasan Kejiranan Daerah Polis Temburong dengan gandingan ahli PK Labu Estate yang ikut serta menjalankan operasi pencegahan jenayah pada malam tersebut.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Bangar, ASP Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj itu turut dihadiri oleh Ketua Kampung Labu Estate selaku Pengerusi PK Labu Estate, Haji Sulaiman bin Haji Nasir.

Rondaan secara berjalan kaki dan menggunakan kenderaan di kawasan Kampung Labu Estate yang bermula jam 9 malam hingga larut malam itu tiada menemui sebarang kegiatan yang mencurigakan.

ARTIKEL YANG SAMA