Banteras jenayah merentas sempadan

Banteras jenayah merentas sempadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) ke-15 dan mesyuarat yang berkaitan, kini sedang berlangsung di Siem Reap, Kemboja, bermula 7 hingga 12 Jun, dengan memfokuskan usaha pelaksanaan membanteras lapan bidang jenayah merentas sempadan.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini, delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat berkenaan diketuai oleh Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

Mesyuarat telah dimulakan dengan penyerahan jawatan pengerusi mesyuarat oleh Dato Paduka Haji Hamdan kepada tuan rumah, Kemboja yang menjadi Pengerusi Mesyuarat SOMTC ke-15 dan mesyuarat yang berkaitan.

Mesyuarat kali ini membincangkan usaha perlaksanaan membanteras lapan bidang jenayah merentas sempadan iaitu pengganasan, perdagangan manusia, jenayah siber, pengedaran dadah haram, pembersihan wang haram, penyeludupan senjata, jenayah lanun dan jenayah ekonomi antarabangsa, serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjaga keselamatan dan keharmonian rakyat dan penduduk negara-negara ASEAN daripada ancaman jenayah-jenayah berkenaan.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju untuk membincangkan draf Konvensyen ASEAN mengenai Perdagangan Manusia khususnya wanita dan kanak-kanak dan pelaksanaannya, serta Pelan Tindakan ASEAN dalam membanteras Perdagangan Manusia khususnya wanita dan kanak-kanak untuk dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Trans-nasional (AMMTC) ke-10.

Dato Paduka Haji Hamdan mengetuai delegasi Brunei menghadiri mesyuarat SOMTC ke-15.
Dato Paduka Haji Hamdan mengetuai delegasi Brunei menghadiri mesyuarat SOMTC ke-15.

Dalam pada pada itu, kumpulan-kumpulan kerja Mesyuarat SOMTC juga telah membentangkan laporan berhubung perkembangan aktiviti-aktiviti signifikan yang telah dilaksanakan dalam program kerja SOMTC dan cadangan baru untuk hala tuju dalam ASEAN memerangi jenayah merentas sempadan selepas 2015 dengan berpandukan kepada ‘ASEAN Political-Security Community Blueprint’.

Seterusnya, mesyuarat bersama 12 rakan dialog turut diadakan bagi kerjasama antarabangsa yang berterusan terhadap jenayah merentas sempadan.

Kenyataan menambah, semasa sesi retreat, ketua-ketua SOMTC telah membincangkan dan bertukar pandangan mengenai isu-isu baru yang mempunyai kaitan dengan jenayah merentas sempadan bagi menanganinya dengan lebih efektif dan efisien serta perlaksanaan yang lebih berkesan kepada pelan kerja dan program kerja SOMTC.

Ketua-ketua SOMTC juga telah dimaklumkan bahawa satu mesyuarat khas di peringkat menteri-menteri ASEAN mengenai “Rise of Radicalisaton and Violent Extremism” akan diadakan serentak dengan AMMTC ke-10 pada September 2015 dan mesyuarat khas peringkat Menteri-Menteri ASEAN mengenai ‘Illegal Movement of Persons’ pada Julai 2015 di Malaysia.

Mesyuarat juga mengalu-alukan kesudian negara Indonesia untuk menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat SOMTC ke-16 dan mesyuarat yang berkaitan pada tahun 2016.

ARTIKEL YANG SAMA