Banteras jenayah tanggungjawab bersama

Banteras jenayah tanggungjawab bersama

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 2 Mei – Sebanyak 18 buah kampung telah lulus penapisan dan pengaktifan serta pendaftaran ahli Pengawasan Kejiranan Daerah Tutong yang merangkumi 334 orang ahli.

Perkara tersebut telah ditekankan oleh Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Haji Chipli bin Haji Mohammad selaku pengerusi di Majlis Perjumpaan Pertama bagi tahun 2016 dengan penghulu-penghulu mukim Daerah Tutong, baru-baru ini di Pejabat Jabatan Daerah Tutong.

Haji Chipli turut menerangkan mengenai dengan Perkembangan Pengawasan Kejiranan Daerah Tutong dan diikuti dengan laporan aktiviti suku tahun keempat 2015 dan suku tahun pertama 2016 termasuklah perancangan-perancangan bagi Pengawasan Kejiranan.

Menerusi taklimat itu, beliau menekankan kepada penghulu-penghulu dan ketua kampung Daerah Tutong bahawa pembanterasan jenayah bukan hanya terletak kepada Pasukan Polis Diraja Brunei malah ianya adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat kampung.

Majlis perjumpaan yang diadakan di Pejabat Jabatan Daerah Tutong, baru-baru ini.
Majlis perjumpaan yang diadakan di Pejabat Jabatan Daerah Tutong, baru-baru ini.

Taklimat turut memberikan pendedahan statistik perbandingan kes jenayah dan lalulintas di bawah jagaan Daerah Polis Tutong bagi suku keempat tahun 2015 dan suku pertama tahun 2016 yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong merangkap Pegawai Jenayah Daerah Tutong, Timbalan Penguasa Polis Ramzi Hayatina bin Dato Seri Setia Haji Ibrahim.

Majlis perjumpaan itu merupakan anjuran Daerah Polis Tutong selaku pengerusi Pengawasan Kejiranan. Tujuan mengadakan majlis perjumpaan itu adalah bagi mengongsikan perkembangan terbaharu Pengawasan Kejiranan Daerah Tutong

Turut hadir ke perjumpaan tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam.

ARTIKEL YANG SAMA