Banteras rasuah sejajar hukum Islam

Banteras rasuah sejajar hukum Islam

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Biro Mencegah Rasuah (BMR) telah menekankan tentang bahayanya kesan melakukan rasuah kepada seramai 169 orang mahasiswa-mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Tahun 1 dalam Kuliah Khas Melayu Islam Beraja (MIB) yang diadakan di Dewan Jubli, UNISSA, pagi tadi.

Ceramah berupa kesedaran dan pengajaran itu disampaikan oleh Pemangku Ketua Penyiasat Khas BMR, Haji Muhammad Hisham bin Haji Sulaiman.

Taklimat memberi penerangan mengenai pengertian rasuah, kesan dan akibatnya menurut Syarak dan undang-undang.

Haji Muhammad Hisham menjelaskan, rasuah ialah pemberian atau penerimaan secara tidak jujur sebarang suapan sebagai dorongan atau ganjaran untuk diri sendiri atau orang lain.

Antara mahasiswa UNISSA Tahun 1 yang menghadiri Kuliah Khas Melayu Islam Beraja (MIB) berkaitan rasuah.
Antara mahasiswa UNISSA Tahun 1 yang menghadiri Kuliah Khas Melayu Islam Beraja (MIB) berkaitan rasuah.

Menurut beliau, rasuah selalu diibaratkan sebagai penyakit barah yang boleh merebak kepada masyarakat yang berlaku tanpa mengira golongan atau kedudukan dalam semua lapisan masyarakat di mana-mana negara di dunia ini.

Bangsa Melayu adalah bangsa yang menitik-beratkan soal moral yang tinggi, dan amalan memberi hadiah yang diibaratkan sebagai sedekah daripada pemberi boleh menjadi rasuah apabila hadiah itu diberi dengan niat tidak baik dan dengan ada tujuan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa, keuntungan, perkhidmatan daripada pihak yang berkaitan dengan tugas atau urusan rasminya.

Beliau menekankan, sebagai negara yang berteraskan Islam maka adalah bertepatan bagi Negara Brunei Darussalam untuk membanteras rasuah sejajar dengan hukum Islam yang dikategorikan dalam amalan dosa besar kerana terdapat unsur kezaliman kerana mengambil hak orang lain dengan tidak jujur.

Jelas beliau lagi, kesan dan implikasi rasuah terhadap ekonomi, politik dan sosial serta budaya boleh mengheret individu, masyarakat, bangsa atau negara kepada bencana keruntuhan tamadun disebabkan sifat tamak dan kerakusan kekuasaan manusia itu sendiri.

“Kesan-kesan buruk rasuah akan menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran, di samping boleh menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan, selain memberi kesan kepada individu itu sendiri seperti kehilangan pekerjaan dan kejatuhan moral atau maruah.”

Beliau turut menekankan bahawa melaporkan kegiatan rasuah kepada pihak yang berkenaan juga merupakan tanggungjawab semua.

Pelapor atau pemberi maklumat, akan dilindungi di bawah Seksyen 30(1) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 132) dan oleh itu beliau menyarankan agar tidak takut untuk memberi maklumat yang benar dan bersama-sama menghapuskan rasuah demi agama, bangsa dan negara.

Adalah menjadi kesalahan jika gagal melaporkan, yang mana mereka akan didakwa dan jika sabit kesalahan, akan didenda $500 dan penjara enam bulan.