Bantu ahli Projek Skim Fidyah celik kewangan

Bantu ahli Projek Skim Fidyah celik kewangan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) melalui Projek Skim Fidyah MKM dengan kerjasama Junior Achievement (JA) Brunei hari ini memulakan Program Latihan Celik Kewangan bagi murid-murid sekolah rendah di Pusat Sumber MKM, Kompleks Melabau, Kampung Melabau, Serusop, pagi tadi.

Seramai 24 murid dari Sekolah Rendah Tanah Jambu, Kluster 4 telah menyertai program tersebut yang dikendalikan oleh para pegawai MKM dan sukarelawan belia terlatih daripada JA Brunei iaitu sebuah persatuan bukan berasaskan keuntungan yang berdaftar.

Program kali ini membawa modul ‘JA More Than Money’ dikhaskan bagi murid-murid Tahun 3 hingga Tahun 6 akan dijalankan selama tiga sesi sebelah pagi iaitu pada 2, 4 dan 11 September ini.

Naib Presiden 1 MKM, Dayang Nur Judy binti Abdullah ketika ditemu bual menjelaskan mereka berbesar hati di atas kerjasama JA Brunei bersama MKM dalam mengadakan latihan Program Celik Kewangan.

Beliau berharap program ini akan dapat membantu ahli-ahli MKM mencapai matlamat mereka dalam membantu ahli-ahli Projek Skim Fidyah menjadi seorang yang celik kewangan.

Program Celik Kewangan ‘JA More Than Money’ yang diadakan di Pusat Sumber MKM, Kompleks Melabau pagi kelmarin.
Program Celik Kewangan ‘JA More Than Money’ yang diadakan di Pusat Sumber MKM, Kompleks Melabau pagi kelmarin.

Pada tahun ini, MKM akan menyasarkan dua atau tiga buah kumpulan daripada murid-murid sekolah rendah di bawah Projek Skim Fidyah sebagai program tambahan.

Mereka juga akan melanjutkan program yang sama bagi kanak-kanak yang lemah di bawah pelanggan-pelanggan MKM yang berdaftar.

Program ‘JA More Than Money’ ini menampilkan konsep mata wang yang memainkan peranan penting kepada masyarakat dengan perkongsian, penjimatan dan perbelanjaan, dan menjadikan murid-murid sebagai pelanggan yang bijak dalam memperolehi pendapatan gaji dengan memulakan perniagaan mereka.

Pada akhir program itu nanti, murid-murid berkenaan diharap akan dapat memupuk kefahaman mereka tentang asas-asas kewangan serta menerapkan kemahiran mereka dalam menguruskan kewangan secara bijak dalam kehidupan seharian.

ARTIKEL YANG SAMA