Bantu anak-anak yatim

Bantu anak-anak yatim

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 Jan – Bersedekah merupakan satu cara untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan fakir miskin termasuklah anak-anak yatim, kerana agama Islam sangat mengambil berat akan kebajikan anak-anak yatim ini. Maka sudah menjadi tanggungjawab kita dan orang-orang yang dipertanggungjawabkan menjaga anak yatim tersebut untuk membela nasib mereka.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan ganjaran besar di sisi Allah S.W.T bagi umat Islam yang berkelakuan baik terhadap anak-anak yatim ini, dan salah satu daripada kelakuan baik itu ialah dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang hidup susah dan tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya.

Bantuan pula boleh dibuat dalam bentuk wang atau barang-barang keperluan yang boleh mengurangkan beban mereka, sekali gus memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada mereka.

“Sememangnya dalam masyarakat kita masih kaya dengan sifat kasih sayang, simpati dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yatim. Banyak pihak telah berusaha mengumpulkan dana bagi memberi bantuan kepada mereka sama ada daripada pihak kerajaan, swasta ataupun persendirian seperti Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim, tabung kutipan untuk anak-anak yatim di masjid-masjid, persatuan-persatuan, projek-projek amal dan sebagainya,” jelas Khatib lagi.

Khatib turut menyeru orang ramai untuk menghulurkan derma seikhlas mungkin, melalui kemudahan yang disediakan seperti Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dibukakan kepada orang ramai melalui projek SMS Brunei Prihatin bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim bermula 25 November lalu sehingga 13 Januari ini kelak.

Menurut Khatib lagi, projek tahunan ini memudahkan orang ramai menghulurkan sumbangan melalui kecanggihan teknologi telefon bagi sama-sama membantu anak yatim piatu di negara ini mendapatkan asuhan, pimpinan dan pendidikan agar mereka menjadi warga negara yang berguna.

ARTIKEL YANG SAMA